Tanggal 14 April 2012 - dalam suasana tenang bercampur cemas, dataran bersejarah ini bakal merakam sekali lagi proses sejarah yang dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, akan dikenang sebagai titik penting perubahan dan kebangkitan semula golongan muda dan terpelajar di negara ini.
Mengimbas suasana pada 1974, ribuan siswa memenuhi ruang yang sama demi menuntut pembelaan terhadap kemiskinan dan penindasan rakyat bawahan dari utara tanah air. Hari ini, dataran yang sama sekali lagi merakam semangat dan iltizam jiwa-jiwa muda yang menggenggam kuat hak dan kebebasan mereka.
Selepas hampir 40 tahun, negara ini suram dengan jeritan dan laungan kemarahan anak-anak siswa berjiwa besar dan berminda sedar. Hari ini, suara anakanak siswa kembali bergema di segenap ruang dalam lembah kota moden Kuala Lumpur, khususnya Dataran Merdeka.
Himpitan sistem pendidikan yang teruk dan memalukan, pengabaian kebajikan, sikap lepas tangan kerajaan, dan tentu sekali manipulasi orang-orang kaya pemodal terhadap anak-anak siswa ini membuatkan mereka berani untuk terus bangun, bangkit - menggenggam penumbuk ke udara dan: Lawan.
Sudah hampir habis hujah diperdebat di segenap pelusuk (ironinya, kecuali di kampus!), sebaliknya yang wajib dirakam untuk kita kenang ialah tempoh 312 jam Dataran Merdeka ditawan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, sebuah protes berlangsung untuk tempoh yang sangat lama - 13 hari.
Namun, semangat anak-anak siswa ini membuktikan tiada yang mustahil apabila kesedaran dan kemampuan untuk mereka menyelak kebenaran dizahirkan.
Seluruh negara gempar!
Dengan hanya membariskan lebih kurang 30 hingga 40 anak-anak siswa dan pemuda-pemuda daripada pelbagai kumpulan, eksperimentasi mereka berjaya. Mereka membuktikan, bilangan sedikit bukan halangan untuk menyampaikan mesej perubahan ke seluruh negara. Mereka membuktikan, pendidikan mampu diberi percuma apabila setiap hari mereka berkuliah di tengah-tengah kem protes. Mereka membuktikan - seperti juga jalan raya, Dataran Merdeka yang selama ini terkenal sebagai pusat tumpuan untuk remaja melepak dan pasangan muda memadu kasih, berjaya dimurnikan menjadi sebuah lagi universiti.
Tanpa disangka - di Dataran Merdeka itu - mereka menjadikan budaya protes dan bersuara bukan lagi hanya sejam dua. Mereka menjadikan protes sebagai hobi dan trend baru. Setiap malam, ribuan warga kota datang berkunjung tanda solidariti. Setiap malam, ribuan warga kota tersenyum puas melihat kegigihan anak-anak siswa mendesak perubahan demi masa depan generasi akan datang.
Dataran yang pernah menjadi simbol harapan, kemerdekaan dan pembebasan rakyat, sekali lagi mengembalikan roh asal, sesuai dengan namanya.
Insiden serangan, tangkapan, keganasan dan seribu satu ujian tidak memadam unggun semangat para demonstran dan occupiers. Sakit dan cedera yang ditanggung anak-anak siswa ini dikongsi bersama. Semangat dan kegigihan mereka dirasai bersama-sama rakyat yang meletak harapan tinggi terhadap kebangkitan anak-anak muda ini.
Pihak berkuasa dan upahan-upahan rejim hanya menempah penat apabila berdepan dengan mereka. Sekali dataran itu ditawan, tidak mungkin mereka berundur.
Apabila anak-anak muda ini, suatu ketika dulu berjanji menjadi barisan hadapan dalam perjuangan rakyat, mereka bukan setakat mengambil tempat paling hadapan dalam rantaian demonstran, sebaliknya lebih radikal lagi - membuka jalan dengan menawan Dataran Merdeka agar pada tanggal 28 April, semua rakyat mudah menembusi dataran tersebut.
Apabila dikenang dan difikir, setiap detik di Dataran Merdeka, tak ubah seperti medan perang. Sebelum menawan kawasan, pasukan terbaik dihantar untuk membuka jalan. Mereka inilah yang sanggup berkorban apa sahaja hatta nyawa sekalipun demi memastikan misi mereka Berjaya, sekaligus rakan-rakan lain mampu menembusi kawasan lawan. Andai pasukan hadapan ini gugur dan gagal, maka pasukan besar juga mungkin gagal.
Hari ini, pertaruhan sama ada laskar kuning BERSIH 3.0 mampu menembusi Dataran Merdeka ataupun tidak, terletak kepada anak-anak siswa berjiwa besar ini. Setiap hari mereka berhujan dan berpanas, bermandi peluh, bertitikkann embun - menantikan ketibaan rakan-rakan.
Jauh di benak hati mereka - setelah sekian lama bergelut, bertempur, dan bertahan; mereka sentiasa menjeling ke jalan raya, menantikan ketibaan laskar-laskar kuning. Penuh sabar, mereka menantikan hari perjanjian 28 April. Tinggal 24 jam sahaja lagi.