DIAGNOSIS: DELUSI - 9
Pagi itu, kami bertiga masih berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). Seperti biasa aku dan Farah akan menunggu Hazim di taman HUSM sebelum kami ke klinik psikiatri. Hal ini kerana aku terpaksa keluar awal disebabkan menumpang kereta kawanku kerana dia perlu berada di wad Obstetrik pada awal pagi.

Hari itu pula merupakan hari doktor merawat kes-kes psikiatri yang berkaitan dengan kanak-kanak. Namun, tidak ramai kanak-kanak yang datang pada waktu itu. Sementara menunggu kehadiran mereka, kami berbual-bual mengenai lawatan ke salah sebuah rumah kanak-kanak yang menghidap autism sehari sebelum itu.

Sedang asyik berbual, kelihatan seorang remaja yang cantik, bertudung bawal hitam dan memakai jubah hitam melangkah masuk ke dalam klinik itu, bersama seorang wanita dewasa. Mereka memilih tempat duduk di barisan kedua kerusi panjang klinik. Kami bertukar-tukar senyuman.

Kami mengambil masa beberapa minit sebelum cuba untuk mendekati mereka. Ketika itu, Hazim masuk ke dalam bilik supervisor nya. Hanya tinggal aku dan Farah ketika itu.

Kami berbual seperti biasa. Pada mulanya, kami bertanya kepada remaja itu mengenai masalah yang dihadapinya, namun persoalan kami hanya dibalas dengan senyuman malu. Tidak lama itu, kelihatan seorang wanita dewasa berpegangan tangan bersama-sama seorang budak perempuan melangkah masuk ke dalam klinik itu.

Mereka mengambil tempat duduk berhampiran remaja itu. Kini, ibu remaja itu pula menjawab pertanyaan kami. Namun, jawapan yang diberikannya membuatkan kami terkilan seketika.

Sebenarnya, dia diperkosa oleh pak ciknya sendiri.

Kami terdiam seribu bahasa. Itulah kali pertama kami mendengar isu itu dengan telinga kami sendiri. Biasanya kami hanya mendengar isu-isu seperti ini di televisyen.

Setelah meminta kebenaran daripada remaja dan keluarganya itu serta doktor yang bertugas, kami dibenarkan untuk masuk ke bilik konsultasi doktor. Kami berdiri di bahagian belakang dan memerhatikan situasi yang berlaku dalam diam.

Ani, boleh Ani cerita dekat doktor tak apa yang terjadi sebenarnya soal Doktor Hayati.

Ani hanya diam membisu. Dia menundukkan kepalanya. Dia ditemani oleh ibunya. Suasana agak tegang ketika itu.

Ani, royaklah. Gapo jadi benonye soal ibunya pula.

Namun, Ani masih berdiam diri.

Ani, doktor minta maaf tapi memang doktor kena tanya soalan ni. Ani nak doktor tolong Ani kan tanya Dr.Hayati dengan lemah lembut. Dia cuba untuk mendapatkan kepercayaan remaja itu. Hal itu mungkin sukar kerana itulah kali pertama mereka bersua muka.

Saya tok se mok saya ado, jawab Ani, ringkas.

Ibunya akur dengan keputusan Ani itu. Dia bangun dari tempat duduknya dan keluar dari bilik itu.

Okey, Ani. So sekarang Ani dah bersedia ke nak cerita dekat doktor soal Dr.Hayati. Dia sabar menunggu jawapan daripada Ani. Namun, Ani terus membisu.

Ani, awak tak boleh macam ni. Doktor kena tahu apa yang terjadi, baru doktor boleh tolong awak. Awak nak tangkap orang jahat tu kan Doktor Hayati tidak berputus asa.

Ni sume saloh mok saya. Dio hok bagi ore jahat tu dekat nge saya. Ani mula bercakap dengan nada yang agak tinggi.

Kenapa awak cakap macam tu Soal Dr.Hayati, cuba merungkai emosi Ani.

Doktor tanyolah dio sediri.

Habis tu, macam mana dengan kejadian tu Boleh Ani cerita dekat doktor

Ani mula bercerita. Dia memberitahu bahawa itu bukanlah kejadian pertama yang terjadi kepadanya. Namun, dia takut untuk memberitahu sesiapa kerana pak ciknya itu mengugut untuk membunuh ibunya jika dia membuka mulut. Dia juga menceritakan bahawa dia dapat melihat peristiwa itu berulang kembali walaupun ketika berada di dalam kelas. Tidurnya juga dihantui oleh peristiwa itu.

Argh! Ani menjerit dengan kuat secara tiba-tiba. Kami tersentak dengan jeritannya itu. Doktor Hayati cuba untuk menenangkannya.

Setelah itu, ibu Ani dipanggil masuk kembali. Doktor menceritakan perkara yang terjadi kepada ibunya. Reaksinya seperti dijangka. Dia menangis teresak-esak. Dia seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Dia tidak tahu menahu langsung mengenai kejadian malang berulang kali yang menimpa anak perempuannya berusia 13 tahun itu.

Doktor Hayati menghulurkan kotak tisu kepadanya. Setelah disoal, tahulah bahawa Ani menyalahkan ibunya atas kejadian yang berlaku. Hal ini kerana ibunya membenarkan pak ciknya itu untuk mendekati mereka, sebagai ganti ayah yang telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Bak kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi.

Kini, giliran adik perempuan Ani yang berusia lima tahun itu pula disoal oleh doktor. Kali ini, adiknya pula yang meminta ibu mereka untuk keluar dari bilik itu. Malangnya, budak yang baru ingin belajar mengenal dunia itu juga mengalami nasib yang sama.

Tok, tok, tok pintu bilik doktor diketuk.

Silakan masuk, jawab Dr.Hayati, ringkas. Air mukanya masih kelihatan tenang.

Ibu mereka melangkah masuk perlahan. Adik perempuannya pula diminta keluar dan kini tinggal doktor, Ani dan ibunya sahaja.

Puan, puan bersedia ke untuk dengar apa yang saya nak cakap ni soal Dr.Hayati.

Ibu itu pada mulanya membisu.

Saya rasa saya tahu apa doktor nak cakap, balas ibu itu dengan suara yang lemah.

Betul ke doktor

Dr. Hayati hanya menganggukkan kepalanya.

Ya Allah! Jerit Ibu Ani sekuat hati. Tangisannya tersesak-esak. Dia hampir jatuh dari tempat duduknya. Dr.Hayati bingkas bangun dan berlari anak menuju ke arah wanita itu. Doktor dipeluk erat oleh ibu itu. Ani masih lagi tertunduk. Tiada reaksi yang dapat dilihat daripada Ani.

Suasana tegang ketika itu. Kami hanya mampu memerhati daripada jauh. Badan kami turut kaku. Tidak pernah kami membayangkan bahawa kami berada dalam situasi seperti itu. Sungguh, runtun hati ini melihat seorang ibu diperlakukan begitu, apatah lagi oleh orang yang dipercayainya.

Namun kini barulah ibu Ani mengerti dengan perubahan sikap yang dialami oleh Ani sejak setahun lalu. Ani pada mulanya seorang gadis yang lemah lembut dan bersopan santun telah bertukar menjadi seorang yang panas baran. Hanya kejadian kali ini yang berlaku menyebabkan Ani membuka mulut setelah dia bangun pada suatu pagi, dan membaling barang yang ada di dalam biliknya sambil menjerit-jerit. Setelah disoal, tahulah ibunya bahawa itu adalah angkara adik iparnya itu sendiri. ****

Post Traumatic Stress Disorder (PTSD)

PTSD adalah kecelaruan emosi yang berpanjangan selepas sesuatu tragedi yang berlaku lebih daripada sebulan (seperti bencana alam, kemalangan, kematian yang mengerikan, peperangan, diperkosa).

Mengikut kitab psikiatri, DSM-5, perkara ini boleh berlaku apabila seseorang:

1. Terdedah kepada trauma secara langsung, menyaksikan trauma atau mengalami pendedahan secara berulang-ulang (seperti pegawai polis yang mengendalikan kes penderaan kanak-kanak yang berulang-ulang) [Exposure].

2. Mengalami gangguan yang berkaitan dengan trauma [Re-experience]:

Imej trauma datang menghantui secara tiba-tiba dan berulang-ulang

Pesakit bermimpi ngeri mengenai trauma

Merasai seolah-olah trauma berlaku kembali kepada dirinya (flashback)

Menyebabkan tekanan psikologi apabila terdedah kepada perkara yang menyerupai salah satu aspek dalam trauma.

3. Mengelak perkara berkaitan trauma : Sedaya upaya tidak mahu mengimbas kembali kejadian itu atau mengelak perkara yang berkaitan dengan trauma (seperti perbualan, situasi, tempat, orang yang berkaitan) [Avoidance].

4. Gangguan emosi dan kognitif (fikiran):

Tidak berupaya mengingat kembali perkara penting mengenai trauma itu

Kepercayaan negatif yang berterusan terhadap diri sendiri, orang lain atau dunia (contoh: saya sangat jahat)

Terus berfikir mengenai punca atau kesan trauma yang menyebabkan seseorang itu menyalahkan dirinya atau orang lain.

Perasaan negatif yang berterusan seperti marah, malu, takut

Kurang minat atau penyertaan dalam aktiviti yang penting

Berasa tersisih daripada orang lain

Tidak berupaya mengalami perasaan positif (perasaan kasih sayang, kepuasan atau kegembiraan)

5. Mudah terkejut dan terlebih reaksi terhadap perkara yang berkaitan trauma (hyperarousal):

Mudah marah atau meradang (dengan atau tanpa provokasi) melalui percakapan atau pukulan fizikal terhadap orang lain atau objek.

Kelakuan yang membahayakan diri sendiri (self destructive behaviour)

Terlampau mudah terkejut

Masalah konsentrasi

Gangguan tidur (susah hendak tidur atau mengalami gangguan tidur)

Seperti dalam cerita ini, Ani telah diperkosa beberapa kali oleh bapa saudaranya sendiri sejak setahun yang lalu. Namun, perkara ini hanya diketahui semasa kejadian yang terakhir baru-baru ini. Ani mengalami sendiri peristiwa trauma ini. Dia juga dapat melihat kejadian itu kembali walaupun ketika berada di dalam kelas. Dia juga merasakan bahawa dirinya sudah tidak berguna lagi dan menyalahkan ibunya atas kejadian yang berlaku. Dia juga mengalami perubahan emosi apabila seringkali marah sejak peristiwa malang itu.

Dalam kes sebegini, sokongan daripada keluarga adalah sangat penting bagi meningkatkan kembali keyakinan remaja ini. Selain rawatan dan kaunseling daripada pakar psikiatri, spiritual approach atau pendekatan spiritual juga amat penting agar hidup dapat diteruskan dengan lebih bermakna lagi.