SURAT-SURAT UNTUK KAHERAH - 9
Tregedi hitam yang bertemakan kambing hitam bermula apabila aku dan Shuhada tinggal berdua di dalam bilik darjah. Kami meletakkan beg sandang ke kerusi masingmasing. Kami telah terlewat menghadiri perhimpunan pagi. Namun, sebelum melangkah keluar, spontan Sang Genius melahirkan kreativiti.

Hanim, tunggu. Apa kata aku sembunyikan diari Yan.

Aku menoleh ke belakang, ku lihat tangan Shuhada mengenggam sebuah buku tebal yang paling disayangi Anne. Buku rahsia itu selalunya tersimpan di sebalik tindihan buku-buku teks lain di dalam laci meja.

Shuhada berkira-kira, memikirkan tempat persembunyian baru diari milik Anne. Ketika itu juga, diari itu diselitkan di dalam laci meja Wafa Thahirah.

Aku tidak ambil pusing. Shuhada bertindak aktif pagi ini. Mungkin neurontransmiter gadis kecil itu telah menghantar impuls ke sasaran spesifik. Shuhada ketawa nipis, membayangkan aksi kelam kabut yang bakal terjadi sebentar lagi. Pagi itu, hemisfera serebrum Sang Genius gagal menaakul aktiviti mentalnya.

Kami keluar menuju ke tapak perhimpunan. Ketika melintasi lokasi rahsia, kami membelok pantas. Seperti biasa, ponteng assemblage.

Aku tak mahu dengar ceramah guru besar. Bukan masuk UPSR. Getus Shuhada, menekankan bebelan guru sekolah rendah itu tidak ada kaitan dengan akademik. Sekadar menjalankan rutin harian yang tidak bermanfaat.

Sekembalinya semua murid ke bilik darjah, kami turut kembali. Mempamerkan wajah tanpa rasa bersalah. Ketika kami masuk, Anne panik dan menjadi marah apabila mendapati diari yang tercatat pengalaman peribadinya tiada di dalam laci meja. Anne mencari-cari dalam keadaan berdiri. Keningnya yang condong dikerutkan sambil mengulang perkataan,

Mana ni, mana ni..kau nampak tak. Bebola matanya berair.

Shuhada senyum simpul dan tunduk. Shuhada pelajar cemerlang, tidak ada siapa yang berani menegurnya berbuat sesuatu yang tidak berfaedah seperti itu. Malah, perbuatan Shuhada yang ponteng kelas setiap hari juga tidak menerima sebarang syak wasangka oleh guru, berikutan Shuhada berwajah mulia. Beliau berkulit cerah, nampak pendiam dan sentiasa tunduk apabila berhadapan dengan khalayak lain.

Shuhada pernah berlakon di hadapan guru apabila murid-murid lain mengadu bahawa Shuhada ponteng kelas setiap hari. Apabila kami berdua pulang dari lokasi rahsia, Cikgu Hajar bertanya,

Shuhada, awak ke mana. Aku kecut perut.

Shuhada tunduk, menagih simpati.

..Saya sakit perut.

Aku menatap wajah Shuhada, seakan tidak percaya gadis kecil itu mampu melafaz skrip lakonan dengan mudah. Penipuan itu kelihatan asli apabila bebola mata Shuhada kelihatan berkaca, cuba memberi bayangan kepada Cikgu Hajar mengenai kesakitan yang dialaminya. Pandai makan, pandai simpan. Itulah ayat yang ku baca daripada air mukanya.

Krisya, gadis India Kristian yang mengadu hal itu terasa gagal membocorkan tingkahlaku pelajar yang sering dipuji guru itu. Cikgu Hajar menunjukkan rasa bersalah kerana bertanyakan kepada seorang pelajar cemerlang soalan yang berbaur curiga. Cikgu Hajar mengarahkan kami kembali ke tempat duduk. Shuhada memandang wajahku sambil tersenyum dan mengenyitkan mata.

Kau tengok, cikgu akan tetap percaya padaku. Katanya sambil tertawa memperkecilkan kredibiliti guru tersebut di dalam menanganinya.

Kali ini, Shuhada berbuat demikian lagi. Apabila ditanya mengenai diari Anne, Shuhada menggeleng, menjawab tidak tahu. Kemudian pura-pura tunduk membaca buku. Anne yang telah bertanya kepada pelajar-pelajar di dalam kumpulan itu akhirnya gagal menangani emosi. Anne menangis sambil meninggikan suara, marah-marah. Kumpulan kami jadi tidak tenteram. Suasana bertambah kecoh. Raziyah, murid bertubuh gempal yang duduk di meja terakhir membuat keputusan untuk melakukan spot check.

Diari itu terus ditemukan di dalam laci meja Wafa Thahirah. Anne bergaduh dengan jirannya, Wafa. Anne menuduh sambil menengking, Wafa cuma mampu menekankan bahawa beliau tidak tahu apa-apa. Pergaduhan itu berlangsung secara serius. Wafa Thahirah pasrah. Anne kekal marah. Shuhada mencetus insinuasi. Mencipta polemik melalui tuduhan tersembunyi.

Aku memandang Shuhada. Wajahnya bertukar pucat. Dia berada dalam lingkungan tidak selamat. Sekiranya perbuatannya terbongkar, dia berpotensi dimarahi oleh seluruh ahli kumpulan. Sedangkan, Shuhada seorang murid yang mendamba kesempurnaan. Dia mahu kelihatan baik dan berkaliber di hadapan murid-murid lain. Cintanya pada kesempurnaan mengorbankan Wafa Thahirah sebagai kambing hitam. Aku dihantui rasa bersalah, kerana Wafa Thahirah seorang gadis yang baik dan tidak pernah menganiaya individu lain.

Berhadapan dengan Shuhada, sahabat baikku sendiri menyebabkan aku ketandusan intergriti. Sang Genius itu kehilangan falsafah. Namun aku memutuskan, Shuhada aku gugurkan dari senarai sahabat. Aku mengutus surat kepada Wafa.

Lamaran Persahabatan.

Umpama mawar di dalam taman, saling mekar memecah haruman. Alangkah indah jika digandingkan, sama melangkah meniti perjuangan.

Bingkisan berlandas tulusnya niat, sebalik kias makna tersurat. Anugrah Allah hadir bertempat, puisi jua pengutus hajat.

Bersimpuh di taman sambil menari, gerak dihati seni didamba. Wahai budak bernama Thahi, sudikah menjadi sahabat hamba

Minggu itu, aku cuma berkawan baik dengan Wafa Thahirah. Shuhada yang tidak pernah diam di dalam kelas terpaksa mencari teman baru untuk di bawa ke lokasi rahsia kami, iaitu tandas. Shuhada yang ego sama sekali tidak pernah menunjukkan rasa bersalah, jauh sekali meminta maaf atas apa-apa kesalahan yang pernah dilakukan. Aku dan Shuhada berpisah kerana itu.

Pada awalnya, Shuhada tidak tahu yang aku telah memberi tindak balas terhadap peristiwa itu. Aku mula renggang dengan si genius kecil. Shuhada bertindak autokrasi, melarang aku berkawan dengan orang lain. Namun dia mendapati aku berhubung dengan Wafa Thahirah melalui surat-surat mini yang aku titipkan melalui bawah meja. Shuhada yang juga melarang aku memberi pinjam peralatan sekolah kepada Wafa telah melihat aku melanggar injuksi persahabatan kami. Akhirnya aku dan Shuhada mengalami krisis dalaman. Aku juga secara terang-terang memperlekeh tindakan Shuhada yang tidak boleh hidup tanpa teman untuk diajak berbual, sehingga terpaksa melantik Krisya yang sakastik sebagai teman rapatnya.

Aku menyesal kerana bergaduh dengan genius kecil itu. Menyesal kerana cuma menerima kelebihannya, tetapi tidak mampu berdepan dengan inherennya. Walhal aku juga bukanlah sesempurna mana.

Namun, demi Wafa Thahirah. Gadis yang telah banyak berkorban perasaan selepas dibuli menyebabkan aku tidak lagi sampai hati. Tahun demi tahun, Wafa Thahirah akhirnya berjaya melunturkan kedajalanku.