MENUJU NAFAS TERAKHIR - 9
Ketika berada di tingkatan satu dan dua, saya tidak banyak membuka buku dan mengulang kaji pelajaran. Hanya sekalisekala buku-buku teks saya digunakan sebaik mungkin. Buku tulis pula mengalami keadaan yang sama. Cuma bezanya, saya banyak melukis berbanding menulis. Tidak banyak nota-nota serta salinan latihan di dalam setiap buku tulis saya. Yang banyaknya hanya lukisan-lukisan kecil, yang menjadi punca saya ditukarkan ke sekolah lama di Kuala Lumpur.

Ah. Satu tamparan hebat untuk saya adalah apabila ibu dan ayah tekad menukarkan saya dari sekolah berasrama, terus ke sekolah lama di Kuala Lumpur. Kerana saya akan menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah atau PMR pada tahun itu, jadi ibu ingin saya belajar bersungguh-sungguh di depan matanya, di rumah kami sendiri. Oleh kerana markah peperiksaan akhir tahun saya pada tingkatan dua sangat-sangat mengecewakan mereka, jadi mereka saling berbincang dan bertekad untuk mengambil saya pulang belajar di sekolah di Kuala Lumpur.

Pada akhir tahun tingkatan dua juga, sebenarnya saya telah berhubungan dengan lebih rapat bersama seorang gadis. Kami sebaya. Kelasnya pula bersebelahan sahaja dengan kelas saya. Badannya kurus, agak tinggi berbanding rakan-rakan yang sebaya dengannya, dan matanya pula sedikit sepet. Apabila dia tersenyum, matanya akan dibesarkan sedikit.

Pada suatu hari, sebelum kami benar-benar mengenali antara satu sama lain, entah bagaimana, saya menegurnya. Dan kami, tibatiba menjadi rapat. Tidak beberapa lama kemudian, saya cubacuba untuk memperlihatkan isi hati saya kepadanya. Kami saling menekan-nekan punat telefon bimbit masing-masing, berbualbual tentang itu dan ini, tidak menghiraukan sesiapa lagi, dan hampir setiap masa kami akan berhubung melalui sistem pesanan ringkas.

Ianya berlaku dengan hanya satu balasan pesanan ringkas yang saya hantarkan kepadanya. Dia membalas sesuatu yang positif, dan melahirkan isi hatinya yang serupa juga dengan saya. Tapi, ketakutan menjelang akhir tahun benar-benar menakutkan kami berdua. Kerana saya akan berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun hadapan dan begitu juga dia. Dia akan ke Johor, berpindah mengikut ayahnya atas urusan perkerjaan.

Dia, risaukan saya akan bertemu dengan perempuan-perempuan lain, lalu jatuh cinta dan membelakanginya. Saya risaukan dia diganggu oleh lelaki-lelaki lain, lalu terpikat dan meninggalkan saya. Kami saling meludah setiap perkatan berbentuk kepercayaan yang selalu kami luahkan. Kami meninggalkan setiap segi kekuatan yang selalu kami pegangkan. Dalam diam-diam, tanpa rasmi, tanpa kami sedari, kepercayaan itu hanya tinggal satu perkataan. Walaupun ianya benar-benar penting dan sangat diperlukan.

Jadi, saya ke Kuala Lumpur, Amylia ke Johor, dan kami tetap bercinta dalam keraguan.

Ah. Namanya Amylia. Nur Amylia.

Pada hari pertama di sekolah lama, apa yang saya lihat adalah perkara-perkara yang sama. Yang pernah dilihat dahulu. Dua tahun dahulu, saya pernah berdiri di tapak perhimpunan yang sama. Masuk ke pejabat yang sama, bilik guru yang sama dan bau hancing tandas lelaki yang juga sama.

Saya ditegur oleh Aiman, oleh Shakir, oleh Syamie dan semua orang yang saya kenali. Semuanya bermula seperti mula-mula kisah ini dimulakan. Hirup udara yang segar pada waktu pagi juga, adalah sama. Sama, sama, sama, sama dan sama.

Ibu saya merupakan guru di sekolah itu. Ya. Dia masih mengajar di sekolah yang sama, dan juga jawatan yang sama. Dunia mungkin sudah tua, untuk melihat sebarang perbezaan. Mungkin sudah tiada, tapi mungkin juga masih berkesempatan.

Oleh kerana ibu merupakan salah seorang guru di sekolah itu, jadi dia mempunyai orang dalam untuk meletakkan saya di mana-mana kelas sekali pun. Saya tidak berapa suka dengan cara ibu menggunakan orang dalam untuk meletakkan saya di kelas yang mana. Saya merasakan ini satu bentuk ketidakadilan kepada semua pelajar di sekolah itu.

Ada di antara mereka berlumba-lumba untuk saling mengejar antara satu sama lain. Mereka melihat dunia sebagai satu trek larian. Saling mengejar antara satu sama lain untuk duduk di carta yang paling tinggi. Mereka saling bersaing untuk menjadi yang lebih baik di dalam pelajaran, berlumba untuk mendapat tempat pertama di dalam kelas, berlumba untuk mendapatkan markah yang lebih tinggi dari orang lain, dan berlumba untuk berpindah ke kelas yang lebih atas dari rakan-rakan yang lain.

Saya Entah datang dari sekolah mana, entah pandai atau bodoh, tiba-tiba dijemput masuk ke kelas pertama kerana ibu saya merupakan seorang tenaga pengajar di sekolah itu. Dan inilah sejenis bentuk kehidupan yang saya pelajari. Sekiranya kita mengenali seseorang di dalam sesuatu jabatan atau organisasi, pekerjaan kita akan menjadi mudah. Kita akan mendapat apa yang kita harapkan. Kita akan memiliki apa yang kita ingini. Kita akan memegang jawatan tanpa sebarang pendidikan, dan kita akan berjaya tanpa sebarang usaha, sekiranya kita adalah orang yang ternama, atau mungkin seorang anak, kepada orang yang terjaga jawatannya.

Dan itulah, yang berlaku kepada saya.

Berada di kelas pertama, 3 Gigih, saya hanya mengenali beberapa orang pelajar sahaja. Shakir, dia duduk bersebelahan dengan saya. Kemudian saya mengenali Farhan. Farhan Tarusan. Dia merupakan rakan sekolah rendah saya. Kemudian pelajar wanita, Aimi dan Wan Amalina. Selain dari mereka, saya tidak mengenali pelajar yang lain. Ini membuatkan kelakuan saya terbatas kerana saya tidak mengenali mereka dan saya agak kekok untuk berbual atau bergurau dengan mereka.

Setiap pagi, selepas bacaan doa di tapak perhimpunan, pelajar kelas 3 Gigih akan masuk terus ke dalam kelas, membuka buku masingmasing, lalu dengan senyap sunyi, mereka terus mengulang kaji pelajaran atau sekurang-kurangnya membuat latihan yang masih belum disiapkan.

Ah. Ini adalah sebuah neraka. Shakir di sebelah saya sedang memegang pensil di tangan kanannya, dan menekan-nekan kalkulator di hujung jari telunjuk kirinya. Setelah beberapa lama saya tidak bersama dengannya, akhirnya Shakir menjadi begini. Menjadi seseorang yang tidak pernah saya sangka.

Dan apabila saya sering sahaja mengenangkan hal itu, saya terus teringat akan peristiwa lucu yang pernah terjadi antara kami berdua suatu ketika dahulu.

Pada waktu itu, ketika di sekolah itu, saya mudah melihat sesuatu yang sempurna. Itu cantik, ini cantik, begitu cantik, begini cantik. Semuanya cantik. Walaupun ketika itu saya masih lagi berhubung dengan Amylia, masih lagi setiap hari dan setiap masa berbalasbalas pesanan ringkas dengannya, masih lagi mengucapkan selamat pagi kepadanya sebelum bergerak ke sekolah dan masih juga mengucapkan janji-janji cinta padanya, tetapi saya juga tetap seorang lelaki. Tetap seorang manusia yang berfitrah untuk melihat kepada manusia yang lain jantina dengannya.

Pada suatu masa, saya akan membeli sekeping biskut coklat pada tiap-tiap petang untuk dibawa ke sekolah pada esoknya. Pada malam itu, di setiap malam yang saya punya biskut coklat di dalam genggaman, saya akan menulis sesuatu di atas sehelai kertas, lalu ditampal kemas-kemas ke atas pembalut bungkusan biskut coklat tersebut.

Esoknya, dengan bantuan seorang kawan Omar, saya akan menyuruh dia meletakkan biskut coklat yang berbalut bungkusan berwarna merah itu di dalam laci meja seorang pelajar perempuan yang sama kelas dengannya. Nama pelajar perempuan itu Dyan.

Dyan merupakan seorang pelajar perempuan, yang juga seorang pengawas di sekolah itu. Wajahnya biasa-biasa sahaja. Cuma ya, cinta itu kan selalu membutakan kita. Dan kita selalu tewas, walau cinta itu bukan biasa-biasa.

Saya ada memberitahu Omar supaya apa yang dilakukan olehnya itu jangan sampai disedari oleh sesiapa. Dan sekiranya ada juga yang mengetahui perkara itu, katakan padanya tidak tahu. Saya tidak mahu sesiapa pun tahu bahawa biskut coklat yang diletakkan di dalam laci meja Dyan itu, adalah dari saya. Saya tidak mahu sesiapa tahu. Lagi-lagi Dyan sendiri.

Perbuatan saya itu berlaku agak lama. Mungkin dua atau tiga minggu juga saya menghabiskan separuh dari duit belanja harian yang diberi oleh ibu untuk membeli biskut coklat kepada Dyan.

Dan hasilnya, hasil dari setiap perlakuan saya itu adalah ; Dyan tetap Dyan. Dan saya tetap saya. Kami tidak menjadi apa-apa, kerana saya juga tidak menyimpan apa-apa niat yang terlalu tinggi kepadanya. Mungkin perbuatan saya itu, selama ini, hanya sukasuka. Mungkin. Mungkin juga.

Dyan juga tidak mengetahui siapa yang memberikan dan meletakkan biskut coklat itu di dalam laci mejanya. Kerana sekiranya dia tahu, pasti dia akan berjumpa dengan saya, bukan Atau sebenarnya dia sudah pun tahu, tetapi sengaja membiarkan cerita ini nampak lebih misteri

Beberapa lama selepas saya berhenti memperkenalkan diri secara misteri kepada Dyan, saya terserempak dengan seorang pelajar perempuan yang juga merupakan pelajar dari kelas yang sama dengan Dyan dan Omar.

Dia berjalan dari jauh sambil memandang ke bawah. Sekali-sekala kepalanya diangkat ke atas untuk melihat jalan yang berada di depannya. Kemudiannya dia berjalan lagi tanpa henti, lalu hilang terus dari pandangan mata saya. Bangunan sekolah kami menghalang pandangan mata saya untuk terus melihat susuk tubuhnya.

Saya memanggilnya perlahan, pada suatu hari. Dengan patah perkataan yang seperti tidak mampu saya tuturkan, dengan peluhpeluh deras yang seperti tidak mampu lagi tertahan, akhirnya rahang yang terkunci ini perlahan-lahan saya longgarkan.

Nama siapa ah tanya saya. Dia diam. Dia tidak mahu berkatakata. Atau tidak tahu berkata-kata, entah.

Boleh bagi nombor handphone tanya saya sekali lagi, sambil mengangkat-angkat telefon bimbit yang sedang saya genggam.

Dia senyum, tidak putus-putus. Lalu dengan beraninya dia mengambil telefon bimbit yang sedang saya pegang, memicitmicit sesuatu, merapatkan telefon bimbit yang dirampas dari saya itu ke telinganya seperti mendengar sesuatu, lalu mengeluarkan telefon bimbitnya sendiri dari kocek baju kurungnya.

Saya sangkakan dia bisu. Benar-benar saya sangkakan dia bisu, sehinggalah dia bersuara, akhirnya.

Sekarang, aku ada nombor kau, kau ada nombor aku. Kira fair lah kan katanya. Dia mengambil tangan saya, meletakkan semula telefon bimbit saya di dalam genggaman tangan, kemudia berlalu pergi dengan sebuah senyuman yang panjang. Dan comel.

Apabila saya melihat di skrin telefon bimbit, rupa-rupanya dia sempat save kan nombor telefon bimbitnya di dalam telefon bimbit saya. Iera. Ah. Iera. Cantik namanya.

Bermula pada hari itu, hari-hari saya semakin menjadi gembira. Tapi bermula pada hari itu jugalah hari yang memeritkan untuk Amylia. Saya sudah jarang-jarang menghubunginya. Sekiranya dulu saya akan membalas-balas pesanan ringkas dengannya hampir sepanjang waktu, tetapi bermula pada hari itu, sudah tidak lagi.

Lama kelamaan, apabila saya benar-benar sudah jatuh cinta dengan Iera, saya telah cuba-cuba untuk membuat keputusan di dalam hati. Sekiranya suatu hari nanti Iera menerima saya sebagai buah hatinya, saya akan menghubungi Amylia terus dan meminta untuk memutuskan hubungan kami. Kejam. Cinta memang kejam. Dan begitu juga manusia. Dan saya.

Kitorang cam study kat belakang satu pondok ni. Lepas tu ada orang datang pakai kopiah apa semua. Dia tangkap kitorang, konon kitorang romen apa semua. Dan mak ayah kitorang nak kahwinkan kitorang. Sebab malu. Sorry Amy.

Ini merupakan sebuah alasan yang telah diberikan oleh saya kepada Amylia. Ketika saya mengatakan alasan ini kepadanya, kulit muka saya seperti dilapah, darah di setiap badan saya seperti disedut hingga kering dan tidak ada lagi jantung yang berdegup kencang.

Bukan. Bukan kerana saya takut akan tindak balas yang akan ditunjukkan oleh Amylia setelah mendengar kata-kata saya itu. Bukan. Tidak sama sekali. Cuma saya malu. Malu kerana kenapa alasan sebodoh itu, yang paling tidak logik, yang paling drama RTM itu telah digunakan oleh saya untuk meninggalkan dia

Sampai hati awak, balas Amylia di hujung talian dengan suara dan tangis yang teresak-esak. Apabila mendengar tangisan Amylia malam itu, saya seperti tidak merasa apa-apa yang menyedihkan, kerana siangnya, sebelum saya menghubungi Amylia pada malam itu untuk memberitahu perkara sebenar yang direkareka, Iera telah menjawab soalan saya dengan satu jawapan yang menggembirakan;

Okay. Saya nak, katanya dengan senyum yang menambahnambah.

Kerana terlampu sayangkan Iera, saya ada mengarang beberapa puisi yang kemudiannya dilagukan semula oleh seorang lelaki dari Sarawak. Saya dan lelaki itu, Max, berhubung melalui laman sosial media yang sangat popular pada waktu itu. Antara bait perkataan yang Max lagukan adalah sebuah puisi yang saya beri tajuk ; Chentai Era.

Bintang-bintang, malam ini, yang setia, menemani sepi.

Agar ruang, itu tidak sunyi, mungkin sama-sama berpuisi.

Agar yang satu, tidak berduri, yang berkata, tidak berhati.

Untuk ku bersuara, yang mulut ini berbicara, seterusnya dan seterusnya.

Aku cinta kau dusta.

Aku cinta kau dusta.

Aku cinta kau dusta.

Selepas kali pertama Max melagukan puisi saya ini, saya tidak lagi mendengar apa-apa khabar darinya. Segala-galanya terhenti pada suatu hari. Entah di mana dia, apa yang sedang dia lakukan, tidak saya ketahui. Cuma harapnya, seorang lelaki genius seperti Max, akan terus berjuang tentang apa yang dia juangkan. Neon, nama kugirannya pada waktu itu, tidak lagi saya dengar-dengar sehingga kini.

***

Mungkin ada benarnya dengan tindakan sesetengah orang, yang bercinta sebelum berkahwin. Bukanlah saya mahu menyamakan tahap percintaan monyet saya dengan percintaan orang yang sudah berkahwin. Tetapi mungkin juga terdapat sedikit persamaan.

Kerana saya gelojoh, tidak mahu mengenal Iera terlebih dahulu lalu terus saja meninggalkan Amylia dan konon ingin bersama dengan Iera, akhirnya barulah saya sedar serba sedikit tentang perangai Iera. Iera lekas jemu. Setelah beberapa hari bersama saya, dia mula nampak mesra dengan seorang lelaki lain. Mungkin saya nampak seperti agak menekan dirinya, jadi dia memarahi saya. Dan dengan tenang, saya cuba merasionalkan diri. Cuba berpositif dengan apa yang telah dia lakukan. Cuba.

Tetapi percubaan itu gagal. Percubaan untuk membiarkan hubungan kami terus lama, tidak mampu bertahan. Akhirnya, setelah mendapat kepastian dan bukti-bukti yang kukuh dari mulut-mulut yang boleh dipercayai bahawa dia tidak lagi mahu dan mampu bersama saya, saya pergi meninggalkannya.

Pada waktu itu, perasaan kesal yang tebal datang membalut setiap inci tubuh saya. Apa yang saya bayangkan hanya seorang, Amylia. Dan Amylia, sudah pergi, selepas saya tinggalkan, beberapa hari yang lepas.

Melepaskan tali yang sudah ditarik hampir enam bulan, sematamata untuk menyambut tali yang lainnya, hanya seminggu. Saya menyesal.