FILSUF UNTUK NOOB - 9
Kau masih bersama aku Ke kau dah bosan Maaflah kalau aku membosankan. Di penghujung bab lalu, aku telah bawa kau mengintai sedikit dunia medieval Eropah. Apa kata kalau kita duduk saja di Eropah buat masa ini. Aku akan lajukan sedikit pergerakan masa agar kita meninggalkan dunia medieval dan sampai kepada bibit-bibit awal Eropah moden, sekitar tahun 1619. Sebab pada masa ini, di sebuah outpost tentera di sebuah tempat di Jerman, seorang tentera pihak Kristian Protestan yang mengurung dirinya di dalam sebuah bilik untuk memanaskan diri dari cuaca sejuk di luar, telah dikunjungi visi-visi yang dia percaya diberi oleh Tuhan untuk menciptakan asas falsafah yang baru. Tentera muda yang baru berusia 23 tahun ini kemudian akan meninggalkan peperangan dan hidup sebagai seorang ahli falsafah dan matematik terkenal.

Lahir di Perancis, pemuda yang akan kita kenali dalam bab ini adalah Rene Descartes (Deh-Kart) ( 1596 - 1650). Kalau kau ada beri perhatian dalam kelas matematik tingkatan 2 mungkin pernah terserempak dengan nama ini. Kerana dialah yang mengasaskan analitik geometri ataupun yang kau belajar masa sekolah menengah, graf koordinat Cartesian (dalam kelas matematik Madam Tan lebih sedekad lalu ,sedang dia sibuk melukis titik di atas kertas graf besarnya di hadapan, aku tertarik untuk membaca kotak ringkas Did You Know di bahagian tepi buku teks yang menceritakan mengenai Descartes,khusyuk membaca sehinggakan tidak sedar namaku dipanggil untuk membuat contoh latihan dihadapan kelas).

Rene Descartes merupakan seorang Kristian yang diberi pendidikan skolastik. Namun, pada suatu masa, seperti al Ghazali, dia mula meragui asas-asas falsafah dan teologi dan mempersoalkan asas kepercayaan, lantas mempopularkan semula apa yang dipanggil Rasionalisme. Persoalan yang amat penting baginya adalah, bagaimana dia dapat meyakini kesemua ilmu pengetahuan yang dia ada Apakah asas kepercayaan bagi semua ilmu pengetahuan ini benar-benar meyakinkan Descartes,seperti al Ghazali dalam Munqidh,mula dengan meragui panca indera, kerana panca indera kadang-kadang tidak memberikan pengetahuan yang tetap ( matahari yang kelihatan seperti kecil,tetapi sebenarnya bapak besar menurut perkiraan geometri). Dan keraguan ini membuka ruang untuk keraguan yang seterusnya.

Apa perasaan kau, jika aku beritahu bahawa segala yang kau percaya, yang kau alami, susu mahal yang kau minum pada pagi tadi, tol mahal yang kau lalui untuk ke kerja/kolej/sekolah hari ini, serta buku(janganlah mahal jugak) yang kau pegang dengan tangan kau, semuanya tidak wujud Kau bukan sedang membaca buku dari seorang penulis yang perasan dirinya ahli falsafah, tetapi sekarang ini sedang lena tidur diatas sofa menanti waktu Magrib. Semuanya yang kau rasa sekarang, adalah mimpi semata-mata, seperti dalam filem Inception. Bagaimana kau mahu yakinkan diri kau bahawa ini bukanlah mimpi

Bagaimana pula kalau aku katakan ,bahawa sebenarnya, diluar sana, tanpa kau sedari, ada sebuah Jin Jahat (Perancis : malin genie) yang sedang menipu engkau dan meletakkan kau dalam sebuah dunia buatannya dan segala yang kau alami, kepercayaan kau semuanya hatta kepercayaan kau pada Tuhan adalah sebenarnya buatan Jin Jahat ini Yakni, tiada wujud semua yang kau percaya, hanya cerita atau dunia palsu yang Jin Jahat ini buat untuk kau (macam dalam filem Matrix).

Aku akan sambung disini dengan petikan dari Descartes sendiri,

Namun begitu telah berakar dalam minda aku suatu pendapat yang sudah lama, bahawa adanya Tuhan yang Maha Kuasa yang telah menjadikan diriku sebagai makhluk yang sebegini rupa. Bagaimana aku tahu bahawa Dia bukan sebaliknya telah mengadakan bahawa dunia itu tiada, langit itu tiada, sesuatu yang dilanjutkan itu tiada, bentuk itu tiada, saiz itu tiada, tempat itu tiada, namun pada masa yang sama memastikan bahawa kesemua perkara-perkara ini wujud pada pandangan aku, seperti mana ianya wujud sekarang

Dalam ertikata lain, Descartes mempersoalkan, bagaimana kita tahu bahawa Tuhan tidak menipu kita dengan ilusi-ilusi yang sebenarnya tidak wujud

Aku tak tahu la kau bagaimana, tapi kalau aku, aku memang akan berasa panik, jika akal aku benar-benar membawa aku kepada fikiran sebegini. Bukan hanya kerana dengan ini aku akan hilang kepercayaan kepada Tuhan, tetapi juga hilang kepercayaan kepada semua yang aku alami. Bagaimana mahu maju dalam ilmu pengetahuan kalau segalanya pun tidak boleh diyakini Descartes juga berasa tidak senang duduk dan amat tidak keruan dengan fikiran ini. Bagaimana untuk membuktikan ianya sebaliknya, bahawa tidak ada Jin Jahat, tidak ada Tuhan yang menipu dan dunia ini bukanlah mimpi semata.

Bagi Descartes, untuk menghapuskan keraguan ini, ianya amat mudah. Katakanlah bahawa kita tidak dapat lagi percaya semua yang kita alami sekarang, kita tidak dapat lagi percaya akan kewujudan buku, kewujudan tol yang mahal, hatta kewujudan Tuhan sekalipun, namun adakah segalanya pun terhapus dengan keraguan ini; tiada benda yang wujud Tidak. Kerana fakta yang kau sebenarnya sedang berada dalam keraguan, menunjukkan walaupun kesemua lain tidak wujud, tetapi ada sesuatu yang masih wujud , iaitu kehadiran sesuatu kau yang meragui . Kau sedar, dan peka akan kau yang sedang meragui kesemua ini. Maka bukankah ini menunjukkan bahawa kau , wujud (Kalau kau perasan, ini seakan-akan eksperimen fikiran Ibnu Sina, Manusia Terapung).

Tetapi aku telah meyakinkan diriku bahawa tiada apa yang wujud di dunia ini, tiada langit, tiada bumi, tiada minda, tiada badan. Adakah kemudiannya aku ikutkan dengan aku sendiri juga tidak wujud Tidak : kalau aku yakin keatas sesuatu, sudah tentu aku ada

Kemudian, dari sini, Descartes menegaskan, Ergo sum, ergo existo ( Aku ada, Aku wujud) yang seterusnya diformulasikan sebagai Dubito, ergo cogito, ergo sum ( I doubt, therefore I think, therefore I am/ Aku meragui, maka aku berfikir, maka aku wujud).

Sekarang, Descartes telah yakin bahawa adanya aku , dan dari sini , dia teruskan untuk menerangkan bagaimana pula aku ini boleh yakin adanya kewujudan Tuhan. Secara ringkas, Descartes mengatakan bahawa aku ini punyai idea mengenai kewujudan sesuatu yang Maha Kuasa, yakni Tuhan. Dan aku menyedari bahawa idea mengenai Tuhan meliputi sifat-sifat Tuhan yang penuh kesempurnaan. Sebaliknya, Descartes/ aku menyedari bahawa aku sendiri tidak sempurna. Descartes yang sememangnya dididik dengan tradisi Skolastik Kristian, mengandaikan bahawa asbab(kausa) lebih berkuasa dari kesan (efek),atau ertikata lain, kausa > efek; tidak mungkin aku yang tidak sempurna dapat memikirkan idea mengenai sesuatu yang Maha sempurna,yakni Tuhan(tidak mungkin efek lebih berkuasa dari kausa/asbab). Sudah tentu idea mengenai Tuhan, iaitu idea yang lebih sempurna dari minda yang memikirkan, datang bukan dari aku sendiri, tetapi datangnya juga dari asbab yang lebih berkuasa, iaitu Tuhan sendiri Dan argumen sebegini dipanggil argumen ontologi. Dari sini, bagi Descartes, dia telah berjaya meyakinkan kembali dirinya mengenai kewujudan Tuhan.

Dan mengenai persoalan Tuhan yang menipu makhluknya, ini tidak mungkin, kata Descartes, kerana Tuhan pada idea nya adalah Maha Baik, jadi sesuatu yang mempunyai Kebaikan yang Sempurna tidak mungkin akan menipu ( ini adalah sifat mustahil bagi Tuhan).

Setelah menegaskan adanya aku dan adanya Tuhan, dari sini, keraguannya mengenai dirinya di dalam mimpi, kewujudan Jin Jahat ataupun Tuhan yang menipu dengan sendirinya dapat ditukarkan kepada keyakinan kerana Tuhan yang Sempurna tidak akan meletakkan makhluk dalam ilusi/mimpi dan sebagainya. Keraguan mengenai panca indera rasa juga dapat dihapuskan dengan penegasan ini.

Kaedah ini dikelaskan sebagai Rasionalisme kerana Desartes menggunakan akal rasional semata untuk sampai kepada sesuatu premis yang jelas dan tepat dan mengenepikan apa yang dialami oleh panca indera. Antara tokoh terkenal yang turut mempelopori Rasionalisme adalah Spinoza dan Leibniz, yang juga kedua-duanya menambah baik idea Descartes dan rasionalisme.

Maka,kita telah lihat Descartes telah dapat mengembalikan kepercayaan nya kepada asas-asas kepada ilmu pengetahuan . Persoalan aku, adakah kau juga sudah kembali percaya setelah ditimbulkan keraguan-keraguan Descartes Kerana tokoh seterusnya yang kita akan lihat, iaitu seorang tokoh Empiris, akan membuahkan sebuah fikiran yang akan secara total, mematahkan hujah Descartes. Kita akan tinggalkan kontinental Eropah dan mengambil bot merentasi English Channel dan akan pergi menuju ke sebuah tempat dimana para budimannya memakai skirt pendek corak petak hitam merah,kilt.

Sumber Primer:

1. Meditations on First Philosophy karya Descartes, terjemahan John Cottingham.

Sumber Sekunder :

1. A History of Western Thought : from Ancient Greece to the twentienth Century tulisan Gunnar Skirbekk ( 2001)

2. Modern Philosophy: An Introduction and Survey karya Roger Scruton ( 1994)