Agathocles, dari Sicily, menjadi Raja Scyracuse bermula dari kedudukan yang lebih rendah daripada rakyat biasa. Dia hidup susah sebagai anak tukang tembikar. Namun kesusahan itu telah membentuk mentaliti dan fizikal yang kuat. Ketika menyertai tentera, dia dapat mencapai jawatan sebagai Praetor Syracuse. Selepas itu, dia bercita-cita untuk menjadi seorang penguasa dan mahu mendapatkan kekuasaan itu dengan kekerasan tanpa perlu tunduk pada pihak lain. Dia menyedari halangan daripada Hamilcar dari Cathaginia untuk mencapai matlamat itu.
Pada suatu pagi, dia mengumpulkan rakyat dan Senator Syracuse untuk pura-pura membincangkan beberapa hal berkenaan Republik. Kemudian, dia memberikan signal kepada pasukan tenteranya untuk melaksanakan pembunuhan ke atas para senator dan golongan kaya. Cara ini telah memudahkan laluannya untuk menjadi penguasa tanpa sebarang bentuk penentangan sivil. Walaupun ditewaskan oleh Cathaginia sebanyak dua kali, dan kotanya diserang, dia tetap dapat mempertahankannya. Malah, dia dapat meninggalkan sebahagian pasukan tenteranya untuk mempertahankan kota, dan selebihnya menyerang bangsa Afrika, Dalam masa yang singkat, Syracuse dapat dibebaskan. Akhirnya, Cathaginia terpaksa bersepakat dengan Agathocles. Memberikan Sicily kepadanya dan terpaksa berpuas hati dengan penguasaan ke atas Afrika.
Pendekatan yang diambil oleh Agathocles tidak menggambarkan dia bergantung pada suatu kekayaan atau kuasa orang lain untuk mendapatkan kuasa. Seperti yang telah disebutkan, dia menuju selangkah demi selangkah dalam ketenteraan untuk mendapatkan kuasa. Pelbagai masalah dan rintangan yang dihadapi. Kuasanya dipertahankan dengan pelbagai bentuk kekejaman. Menghapuskan orang yang pernah melakukan kebaikan kepadanya, mengkhianati rakan-rakan, tiada belas kasihan, serta mengabaikan agama dan kepercayaan. Dengan pendekatan seperti ini, dia mampu berkuasa, tetapi bukan dengan cara yang mulia.
Pertimbangan ke atas keberanian Agathocles dalam menghadapi bahaya dan kekentalan jiwanya menghadapi pelbagai kesusahan, tiada sebab untuk dia diletakkan di tempat yang rendah berbanding dengan tokoh-tokoh lain. Walau bagaimanapun, kekejamannya tidak membenarkan dia disanjung dalam kalangan manusia yang hebat. Pendekatannya tidak didasari dengan bantuan orang lain ataupun kekuatannya sendiri. Tanpa kedua-duanya, dia tetap dapat mencapai matlamat.
Pada zaman kita, semasa Paus Alexander VI memerintah, Oliverotto merupakan anak yatim yang mendapat asuhan daripada Giovanni Fogliani. Pada peringkat awal zaman remajanya, dia dihantar menjadi tentera di bawah pimpinan Paolo Vitelli dengan harapan dia mendapat jawatan yang tinggi dalam ketenteraan. Setelah kematian Paolo, dia berkhidmat di bawah Vitellozo. Dalam masa yang singkat, dengan kecerdasan fikiran dan tubuh badan yang aktif, dia menjadi orang penting dalam pasukannya. Bagi Oliverotto, berkhidmat di bawah orang lain tidaklah seberapa dan rendah martabatnya. Justeru, dia mahu merampas Kota Fermo dengan bantuan Vitellizo dan beberapa penduduk Fermo yang menginginkan kemerdekaan.
Oliverotto menulis surat kepada bapa saudaranya, Giovanni Fogliani untuk bertemu dengannya setelah lama berpisah. Dia juga berhasrat untuk melawat Fermo dan pada masa yang sama, mahu menuntut sebahagian warisan keluarga. Dia membuktikan kepada Giovanni bahawa usahanya selama ini tidak sia-sia. Oliverotto diterima dengan penuh kehormatan oleh bapa saudaranya. Giovanni pula menjadikan rakyat Fermo sendiri memuliakan Oliverotto. Kemudian, Giovanni menempatkan Oliverotto di residennya. Selepas beberapa hari, Oliverotto telah merancang rancangan jahat. Dia menjemput Giovanni dan semua pembesar Fermo ke sebuah majlis. Selepas menikmati jamuan dan hiburan, Oliverotto memanjangkan majlis dengan membahaskan mengenai keagungan Paus Alexander IV dan anaknya, Desare. Ketika Giovanni dan para pembesar lainnya mula membahaskan hal tersebut, Oliverotto pantas menyatakan hal itu patut dibincangkan di tempat yang tertutup. Kemudian, mereka mengikut Oliverotto menuju ke bilik yang lebih tertutup. Setelah mereka semua duduk di tempat masing-masing, serangan hendap dilancarkan lalu membunuh Giovanni dan para pembesar Fermo.
Selepas pembunuhan itu, Oliverotto menunggang kudanya menuju ke bandar dan mengepung majistret di istananya. Kemudian, rakyat berada dalam ketakutan dan dipaksa menurut perintah Oliverotto. Seterusnya, dia menjadikan dirinya penguasa kota tersebut. Undang-undang sivil dan ketenteraan yang baru dibangunkan. Sesiapa yang menentang akan mati. Dalam tempoh setahun, Oliverotto selamat berada di Fermo dan telah menjadi punca ancaman kepada wilayah jiran-jiran. Dia sukar untuk digulingkan sekiranya dia tidak membiarkan dirinya ditipu oleh Cesare Borgia yang telah menangkapnya bersama Orsini dan Vitelli. Setelah setahun melakukan pembunuhan ke atas bapa saudaranya, Oliverotto bersama Vitelozzo yang bangkit sebagai pejuang yang berani dan kejam dicekik.
Mungkin ramai yang hairan, bagaimana orang seperti Agathocles, setelah melakukan pengkhianatan dan kekejaman, mampu hidup aman tanpa gangguan musuh dari luar dan tidak ditentang oleh rakyatnya sendiri. Kalau dilihat, ramai yang kejam tidak akan dapat memelihara negaranya dengan aman mahupun ketika berperang.
Saya percaya, ini adalah kerana sama ada kekejaman itu dimanfaatkan dengan baik ataupun buruk. Kekejaman yang dimanfaatkan dengan baik adalah dilakukan pada waktu dan untuk kepentingan yang betul, serta tidak berterusan. Kekejaman yang buruk adalah kekejaman yang semakin meningkat dan berterusan seiring waktu. Mereka yang memanfaatkan kekejaman dengan baik akan mampu mengawal pemerintahan. Manakala, sebaliknya yang tidak memanfaatkan kekejaman dengan baik akan gagal dalam pemerintahan.
Justeru, perlu dinyatakan bahawa, dalam menguasai suatu negara, penakluk harus melakukan kekejaman yang perlu tetapi tidak berterusan. Kemudian, dapat menenteramkan rakyat dengan memberikan keuntungan kepada mereka. Sesiapa yang bertindak sebaliknya, kerana takut ataupun menerima nasihat yang buruk, akan terpaksa sentiasa memegang pisau. Dia tidak boleh bergantung pada sesiapa kerana tiada sesiapa yang mahu bergantung padanya. Maka, kekerasan harus dilakukan supaya penentangan dapat dikurangkan. Keuntungan patut diberikan kepada rakyat sedikit demi sedikit sehingga keamanan berpanjangan.
Walau bagaimanapun, penguasa haruslah hidup dalam kalangan rakyat untuk mengenal pasti kejadian buruk atau sebaliknya yang mampu mengubahnya. Apabila perkara ini dilakukan ketika waktu bermasalah, telah terlambat untuk mengambil tindakan. Pendekatan yang keras tidak dapat dilakukan. Pendekatan yang ringan tidak membantu, seterusnya tiada siapa yang akan menurut perintah Tuan.