Even when bad things happen, you have to try to use those bad things in a positive manner and really just take the positive out of it.
- Natalie du Toit
Pagi 18 Disember terasa dingin kerana hujan turun lebat. Padanlah liat nak bangun tidur tapi kena bangun juga. Bibik yang basuh pakaian kami semalam mengetuk pintu bilik untuk menyerahkan pakaian. Sejumlah wang pemberian ihsan dihulurkan namun bibik itu menolak. Berkali-kali dia mengingatkan kami jangan beritahu sesiapa akan hal ini. Jika tidak kami perlu membayarnya. Tersentuh juga hati kami dengan budi pekerti bibik tersebut. Menolong kami dengan sungguh ikhlas.
Hari ini kami check-out dan berpindah tempat. Setelah segala urusan selesai, kami berjalan menggalas backpack menuju ke jalan utama untuk mendapatkan angkutan setelah hujan berhenti. Di Indonesia mudah saja mendapatkan perkhidmatan awam. Ada saja yang berhenti menawarkan perkhidmatan dari kereta sewa, teksi, angkutan dan macam-macam. Kalau di Malaysia, selalunya pemandu teksi buat bodoh je kalau orang tempatan. Jarang yang datang menghampiri atau mengekori. Sekolah yang ramai cewek itu kami lalui lagi. Cuci mata sebentar di sebalik cermin mata hitam yang dipakai.
Sampai di jalan utama, kami menaiki angkutan yang ada di situ. Mau ke Kompleks Paskal Hyper, pak, aku bersuara sebaik menaiki angkutan. Pak supir itu mengangguk saja dan ianya pak supir semalam. Angkutan yang sama kami naik. Kali ini dia pasang lagu band Mawar Berduri, band punk Indonesia. Dengan keadaan angkutan yang sempit seperti dalam gig, menggalas backpack memang menyeksakan. Aku terpaksa tertunduk-tunduk berjalan dalam angkutan kerana backpack tersangkut di siling. Keadaan sudah sesak ditambah dengan dua backpack kami. Tapi kami peduli apa. Tambang cuma berharga Rp2,000 saja, kalau naik teksi entah berapa banyak duit terpaksa dibazirkan.
Lebih kurang 30 minit, kami sampai entah kemanamana. Kami turun dan tak terjumpa tempat yang nak dituju iaitu Hunny Hostel di Kompleks Paskal Hyper. Maka dengan tak malunya aku bertanya kepada pakcik-pakcik serta makcik-makcik yang meniaga di tepi jalan. Semua menunjuk ke arah yang sama maka kami berjalan menuju ke arah yang ditunjukkan. Kalau nak mengembara memang tak boleh nak malu-malu, lagi-lagi kalau sesat atau tak jumpa jalan. Waktu inilah nak gunakan peribahasa malu bertanya sesat jalan, jauh perjalanan luas pemandangan. Merapu saja peribahasa aku tu.
Akhirnya tiba di Hunny Hostel yang terletak di kawasan lot kedai yang luas itu. Dari situ Stesen Keretapi Bandung sudah kelihatan. Terdapat juga sebuah pub di hujung lot terbabit. Hunny Hostel mengambil satu lot kedai dari bawah sehingga ke bumbung. Bayaran penginapan cuma Rp100,000 seorang semalam dan ianya benar-benar berkonsep- kan hostel di mana kami duduk di dalam dorm. Terdapat seorang warga Inggeris dan Korea ketika kami sampai. Tak ramai orang di hostel. Sarapan pagi juga percuma. Aku suka sarapan percuma! Setelah mendaftar masuk dan meletakkan beg kami turun dari dorm lelaki yang berada di tingkat dua. Hostel ini tidak bercampur lelaki perempuan. Ia diuruskan oleh sebuah keluarga Cina Indonesia. Mas Johnny nama lelaki Cina yang juga tuan punya hostel.
Dari Malaysia mahu berlibur di Indonesia selama sebulan ya Enak sekali, Mas Johnny memulakan bicara setelah mengetahui tentatif kami. Namun harus diingat, bulan Disember ini punya cuti liburan yang panjang di seluruh Indonesia. Cuti Krismas dan New Year. Kalau mau membeli tiket kereta, harus beli seawal mungkin, takut udah kehabisan. Perbualan itu mengingatkan aku bahawa percutian akhir tahun ini sama seperti di Malaysia.
Terima kasih mas. Oleh itu kami mau segera ke stasiun mendapatkan tiket kereta ke Jogja, balas Haeri sambil memerhati hari yang sudah petang.
Selepas itu kami tiba di Stasiun Bandung. Setiap skrin-skrin yang terpampang menunjukkan tiket ke Jogjakarta pada esok hari sudah habis. Begitu juga dengan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Tiket pada hari Isnin sedang laris berjalan. Kami duduk melangut di situ mencari ikhtiar dan cuba membeli tiket yang ada dijual di Indomaret stesen tersebut. Di mana-mana Indomaret juga boleh membeli tiket keretapi. Juga kehabisan. Nasib yang menimpa tiket bas juga sama. Kami membeli roti coklat dan air tin Nescafe untuk melepak di luar stesen sambil memikirkan ikhtiar lain. Lalu kami dihampiri oleh seorang pak supir yang sama menghantar kami ke Homestay Bantal Guling pada hari pertama di Bandung.
Berjumpa lagi kita. Kalian mau ke mana ujar pak supir itu.
Mau ke Jogja esok tapi tiketnya udah habis pak, aku membalas sambil menghembuskan asap rokok dengan tangan kiriku menggenggam tin nescafe.
Kalian tunggu sebentar di sini. Saya cuba dapatkan tiket, pak supir itu membalas lalu memasuki stesen.
Selang beberapa minit kemudian pak supir itu kembali. Kalau tiket jam 7 pagi hari Jumaat bisa mendengarkan pertanyaan itu seakan memberi sebuah sinar harapan baru buat kami berdua lantas kami bersetuju.
Berapa harganya tanya Haeri.
Rp250,000 seorang, kelas ekonomi, ringkas pertanyaan itu dibalas. Rp250,000 itu boleh dikatakan agak mahal kerana harga tiket ke Jogjakarta dari sini sepatutnya berharga Rp110,000. Ini mesti kerja ulat tiket namun apa pilihan yang kami ada
Enggak bisa kurang harganya pak aku membalas. Lalu pak supir itu kembali memasuki stesen. Di kesempatan ini aku berbincang dengan Haeri.
Mahalnya. Tengok internet semalam Rp110,000 je wei, aku berbicara dengan Haeri.
Ulat tiket la ni. Tapi takkan nak dok lama sangat kat Bandung ni balas Haeri pula kepada aku. Pak supir itu kembali lagi.
Beginilah. Bagaimana dengan harga Rp200,000 seorang. Satu sebut harga baru disebut pak supir. Aku dan Haeri berpandangan. Haeri setuju dengan harga itu, begitu juga aku memandangkan tak mahu buang masa yang lama di suatu tempat. Kami mengeluarkan duit dan diberikan kepada pak supir. Sekali lagi dia kembali ke dalam stesen dan kemudian mendatangi kami lagi dengan dua keping tiket kelas ekonomi. Tiket kami simpan di dalam beg sandang. Seakan diluah mati emak, ditelan mati bapak, begitulah nasib kami terpaksa menjadi mangsa ulat tiket. Tidak apalah. Pengembaraan lebih bererti jika ditemani dengan sesuatu yang buruk dan juga indah. Perkara begini bolehlah dijadikan panduan dan tauladan. Boleh dikongsikan dengan teman-teman lain yang mahu mengembara ke sini.
Usai menjadi mangsa, kami bersiar-siar di situ hingga malam. Tiba-tiba hujan lebat turun membasahi bumi. Tidak sempat berbuat apa, kami sudah lencun kebasahan. Kasut penuh air. Kami tumpang berteduh di sebuah hotel. Lebih kurang sejam kami tersangkut berteduh. Hujan tidak menunjukkan tanda untuk reda. Baju hujan Haeri tinggal di dalam backpacknya. Perut ketika ini sudah lapar tak terhingga. Kerana kelaparan kami membuat keputusan meredah hujan lebat untuk ke sebuah restoran masakan Sunda yang kami sasarkan sejak petang tadi. Maka berlarilah kami ke arah restoran terbabit dalam keadaan hujan lebat serta memijak lopak air. Air yang terpercik mengenai apa saja berhampiran kami termasuk pakaian kami sendiri. Dalam kesejukan kami tiba di restoran tersebut dan terus duduk melabuhkan punggung. Seorang pakcik yang merupakan suami kepada makcik yang membuka restoran tersebut menghulurkan tuala. Kami lap badan yang basah kuyup. Senyuman kami lontar lalu dia memberi dua cawan kopi panas. Kami lihat ke tempat lauk-pauk, ianya seakan sebuah restoran Minang. Kami melangut ke atas, kelihatan papan tanda Restoran Masakan Minang dan Padang. Bukannya masakan Sunda, suku kaum yang berasal di kabupaten Bandung. Malah ini bukan kedai yang dicari tadi. Wei, salah kedai la. Depan tu ha restoran masakan Sunda, aku berbisik kepada Haeri lalu Haeri toleh dan hanya tergelak kecil.
Takpelah. Layan je la. Haha, balas Haeri mudah. Aku pun layankan aje.
Setelah puas menjamu selera, pakcik itu duduk bersama sambil bersembang mengenai perancangan kami di Indonesia, Haeri pula bertanya mengenai masakan Sunda. Kata pakcik itu, masakan Sunda berbeza dengan masakan Minang walaupun ia kelihatan hampir sama. Namun, menurut pak cik itu yang juga suku Sunda dan berkahwin dengan isterinya orang Minang, orang Sunda tidak handal memasak. Di Indonesia, orang Jawa memang terkenal sebagai suku yang pandai memasak. Tak kira lelaki ataupun perempuan. Malahan, tambahnya lagi masakan Sunda yang sedap dimasak oleh orang Jawa. Tergelak juga mendengar penjelasan pakcik itu. Selepas ini ke Jogjakarta, ramai orang Jawa. Terbayang di dalam kepala otak kesedapan makanan yang bakal kami lahap.
Selain itu, pakcik tersebut juga merupakan bekas laskar (askar) TNI (Tentera Nasional Indonesia). Dia menceritakan bahawa Bandung ini menjadi tempat percutian bagi kebanyakan warga Jakarta. Ketika masih berkhidmat di Jakarta dia selalu bercuti di Bandung sekiranya mempunyai kelapangan. Mungkin seperti warga KL yang bercuti ke Genting Highlands atau Cameron Highlands ketika waktu senggang. Kami meminta diri untuk pulang ke hostel setelah hujan berhenti membasahi bumi nusantara ini.