BANDUAN AKHIR - 9
Bagi banduan bernama Rosli, apa yang membezakan hari itu dengan hari-hari lain ialah dia bakal dikunjungi oleh isteri dan lima orang anaknya. Dan lebih istimewa adalah dia dapat makan makanan yang dimasak dari rumah hasil tangan isterinya. Walaupun pada kali ini dia akan menjamah makanan tersebut bagi kali terakhir, namun ia sungguh bermakna baginya.

Hari itu juga dia akan dapat memeluk isteri dan anak-anaknya tanpa dihalang oleh jeriji besi. Namun, hari itu juga merukan hari yang paling sedih buat Rosli. Hari itu adalah merupakan kali terakhir dia akan dapat menatap wajah dan bermesra dengan isteri dan zuriat yang amat dicintai. Esok, dia akan ditamatkan riwayatnya secara paksa dan alam baru bakal menantinya dengan satu cabaran baru.

Perasaan sayu dan seperti menghiris jantungnya menanti saat itu. Mana tidaknya. Anak-anak yang tersayang yang diabaikan selama ini kerana dipisahkan oeh jeriji besi dan hari ini mereka akan ditatapi buat kali terakhir sebelum dia bakal meninggalkan alam fana ini. Entah apa pula nasib anakanak ini yang tidak berdosa ini.

Isteri Rosli yang bertugas sebagai seorang guru telah menanggung malu yang amat sangat atas perbuatannya. Pelbagai tohmahan dan cacian yang telah isterinya terima daripada masyarakat serta rakanrakan sekerja. Malah sindiran daripada anak-anak murid juga tidak kurang pedasnya. Jiran-jiran pula suka memberi sindiran sinis serta memulaukan isteri Rosli. Namun, apa pilihan yang ada. Hanya itulah tempat tinggal yang ada dan hanya itulah profesin yang beliau terpaksa lakukan demi menyara anak-anak seramai lima orang itu.

Dua jam lagi masa pertemuan yang bakal menjelma. Terlalu lama rasanya untuk Rosli menunggu. Setiap detik berlalu terasa terlalu menyeksakan. Anak-anak dan isteri adalah umpama nyawanya. Namun, selama ini dia mengabaikan peluang tersebut semata-mata kerana ingin mengikut jejak rakan untuk cepat menjadi kaya. Lantaran dia membiasakan diri untuk menjual dadah secara kecil-kecilan. Keuntungan lumayan menjadi pendorong kuat untuk dia menjual dalam skala yang lebih besar lagi. Makin lumayan nampaknya. Sehinggalah dia terperangkap dengan penguat kuasa di kawasan yang menjadi pertindihan dan perebutan dua kumpulan pengedar. Dia disabotaj oleh rakan sendiri yang terancam dengan kemerosotan perniagaannya.

Pagi itu sanak saudara yang mempunyai temu janji sudah mula berkumpul. Pelbagai juadah dibawa untuk dijamah oleh para banduan yang dilawati. Inilah masanya untuk banduan menikmati makanan yang lazat sedikit. Hari itu juga merupakan hari terakhir yang akan membolehkan Rosli berjumpa keluarganya. Hari yang penuh bermakna dan merupakan hari terakhir dia dapat memberikan nasihat kepada anakanak dan isterinya.

Esok merupakan hari penentuan yang akan menamatkan riwayatnya. Dia akan menjalani hukuman gantung atas kesalahan yang disabitkan keatas dirinya. Proses rayuan telah dilalui dan penantiannya di bilik tahanan banduan akhir sedang menghadapi detik penghujungnya.

Telah berbagai usaha dilakukannya dan keputusan muktamadnya adalah dia tetap akan digantung sampai mati pada esok pagi. Doa dan permohonan kepada Allah SWT telah beliau lakukan agar keputusan akan berubah. Solat hajat dan segala macam ibadah yang tidak dijejaki langsung selama ini, tetapi menjadi temannya di sel setiap hari. Namun, takdir mangatasi segalanya. Allah Maha Berkuasa dan itu sahaja pilihan yang ada untuk dia menamatkan perjalanan hidup ini.

Sarapan yang dihidangkan tidak dijamah. Bukan kerana juadah yang bakal dibawa oleh isterinya akan diratah dengan sepuasnya. Malah tidak ada selera langsung untuk memasukkan sebarang makanan kedalam mulut. Segalanya terasa amat hambar. Wajahnya yang pucat lesi hanya memikirkan detik untuk bertemu dengan isteri tercinta dan anak-anak yang diabaikan selama ini.

Tiba-tiba mangga pintu sel digoyangkan oleh seorang lelaki berbadan tegap. Rosli dapat rasakan bahawa keluarganya telah berada di luar untuk pertemuan terakhir itu. Segera dia bangun dan berdiri di depan pintu. Pengawal penjara yang berwajah garang itu kelihatan tersenyum sedikit dan menyapa Rosli. Hai kenapa tak jamah langsung makanan itu

Rosli hanya tersenyum sinis tanpa mengeluarkan apa-apa suara. Sebaliknya pantas dia bertanya sama ada keluarganya sudah sampai atau belum. Pengawal tadi hanya menganguk mesra. Sudah hampir empat tahun beliau menguruskan Rosli dan telah wujud kemesraan antara mereka. Pernah beliau menyatakan bahawa Rosli merupakan antara banduan yang paling berdisiplin dan menghormati warden di penjara tersebut.

Namun, semua itu tidak memberi motivasi langsung kepada Rosli. Tiada bezanya. Langkahnya tidak lagi panjang seperti dahulu. Bebas melakukan apa sahaja, berkawan dengan sesiapa pun dan bergerak ke mana sahaja. Langkahnya akan berakhir di sini. Esok dia akan memanjat tujuh anak tangga. Bakal dikalungkan dengan kalungan tali gantung dan bukannya pingat atau anugerah. Dia tidak perlu terjun atau melakukan apa-apa. Hanya satu langkah ke hadapan dan berdiri lurus sebelum lantai yang dipijak menjadi bocor dan hanya 10 ke 40 saat diperlukan untuk jasadnya terkulai dan terpisah dari alam yang fana ini.

Warden berpesan kepada Rosli, Sahabat, sebentar lagi kamu akan saya bawa ke luar dan bertemu dengan anak serta isteri kamu. Ini adalah pertemuan yang paling istimewa buat kamu. Terimalah hakikat dan banyak bersabar dan berzikir untuk menghadapi semua ini. Berilah kekuatan dan semangat kepada keluarga kamu kerana mereka akan terus hidup dan menghadapi segala dugaan hidup yang mendatang. Dah tak banyak pilihan buat kamu kecuali redha dan tabah di hadapan mereka.

Rosli memandang sayu ke arah warden tersebut yang selama ini di panggil Bro. Air mata panas mengalir daripada keduadua kelopak matanya. Wajahnya kelihatan tidak berdarah. Putih dan pucat. Entah apa yang perlu difikirkan pada masa itu. Hanya perkataan Allah.. Alah.. Allah yang terpacul lemah dari bibirnya.

Sambil mengucap beliau melangkah jua di belakang Bro. Walaupun hatinya bergelora untuk bertemu dengan keluarga, namun jiwanya tidak stabil untuk menghadapi semua ini. Ketika berada di selekoh bangunan, dia ternampak isterinya berjubah hijau kuning langsat duduk sayu di atas kerusi batu. Begitu juga anak-anak seramai lima orang yang tidak berganjak di sisi ibunya. Amir! Tersentak seluruh keluarga Rosli apabila mendengar suara ayah mereka memanggil nama anak sulungnya.

Walaupun jarang bertemu, namun naluri seorang anak dan ayah telah memberi sentuhan kimia antara mereka. Sayu hati, sayu suasana dan tangisan penuh syahdu memenuhi suasana ketika itu. Warden yang mengiringi Rosli turut menitiskan air mata penuh simpati. Rosli tidak mahu menangis. Dia tidak mahu dilihat lemah. Ini sahaja peluang yang ada untuk dia memberikan contoh dan mengajar mereka apa itu erti ketabahan.

Isteri Rosli juga kelihatan lemah namun dalam masa yang suntuk, dia tidak mahu mensia-siakan peluang untuk berbakti kepada suaminya. Juadah yang dimasak sejak jam 5 pagi tadi disusun untuk dijamah mereka sekeluarga. Tiada bicara apa yang keluar dari mulut Rosli. Dia hanya memandang sayu kepada isterinya dan berulang kali memohon maaf. Sedikitpun tiada selera untuk menjamah juadah.

Dalam jiwa Rosli pada ketika itu adalah rasa besalah yang amat sangat kepada keluarga di atas perbuatannya selama ini.

Suapan isterinya dijamah hanya sedikit untuk menjaga hati. Rosli menyibukkan diri memeluk dan menyuapkan makanan ke mulut setiap anak-anak. Rosli memberikan sebanyak mungkin nasihat kepada anakanak agar taat kepada ibu dan jangan kisah apa masyarakat kata tentang mereka. Jaga agama dan jadi anak yang soleh! Itu ayat yang paling kerap disebut Rosli untuk bekalan terakhir kepada anak-anaknya.

Warden memberi isyarat hanya tinggal

5 minit sahaja lagi. Lantas Rosli memeluk kelima-lima anaknya. Air mata sudah tidak tertahan lagi.

"Ayah mintak ampun pada kamu semua.! Ayah gagal! Jangan jadi macam ayah. Janji, O.K! Janji tau!" kata Rosli sambil menyebut nama kelima-lima anaknya. Rosli mencium mata mereka.

Tangisan mereka keluarga didegari oleh banduan dan keluarga lain yang melakukan lawatan rutin. Namun, mereka amat memahami. Isterinya terduduk sambil memeluk kaki suami yang sebenarnya amat bertanggungjawab. Tidak pernah dia dikasari. Hanya perbuatan Rosli yang ingin mencari wang segera untuk kebahagiaan keluarga telah menjebakkannya dan memisahkan mereka.

"Mah mintak ampun, bang." Lemah suara isteri namun menusuk jauh ke lubuk hati.

Namun, tiada reksi dari wajah Rosli. Hanya pandangan suram dan sayu sebagai balasan kepada isteri yang sedang berjujuran air mata sejak dari tadi. Hati mana yang tidak sebak untuk menghadapi suami yang telah berbakti selama ini akan ditamatkan riwayatnya tidak sampai 24 jam lagi. Menatapi mayat hidup yang berdiri di hadapan mata merupakan suami sendiri.

Sekali lagi warden bertugas memberi isyarat bahawa masa melawat telah tamat. Beliau juga tidak dapat menahan kesedihan melihat babak yang menyayat hati itu. Tambahan pula prestasi yang amat baik yang telah ditunjukkan oleh Rosli sepanjang berada di tahanan di bawah kelolaannya. Ciuman terakhir diberikan oleh Rosli kepada isteri dan anak-anaknya. Sambil menoleh ke belakang dia terus melangkah longlai ke pintu penjara untuk menghadapi satu lagi perjuangan iaitu perjuangan terakhir. menghadapi maut.

Tangisan keluarga Rosli masih didengari. Namun, tiada apa yang boleh dilakukan oleh mereka takdir akan menentukan segalanya hanya redha, tawakal dan doa yang boleh dilakukan agar segala yang terbaik boleh berlaku.

Begitulah pilunya satu situasi yang amat tragis dan merupakan satu natijah kepada satu kesilapan manusia yang tidak berfikir panjang dalam tindakannya. Matlamat tidak pernah menghalalkan cara. Walau niatnya adalah untuk menyara diri dan keluarga, namun jalannya harus betul dan dibenarkan oleh agama.