Ketika hati memberi penumpuan dalam menunaikan amalan taat tertentu, para malaikat bertindak memberi sokongan dan menghiasi perbuatan tersebut dan akal pula bertindak memberi galakan berdasarkan tahap ilmu yang ada padanya. Ketika syaitan mendapati hati berazam untuk menunaikan perbuatan taat itu, ia akan menimbulkan perasaan was-was kepada diri manusia untuk memalingkan tumpuan hati dan mencipta keuzuran yang boleh menghalang daripada terus melakukan ibadat tersebut.
Jika sekiranya seorang hamba itu cuba bermujahadah terhadap nafsunya, hawanya dan bertekad bagi meneruskan perbuatan taat itu, sedang syaitan melihatnya maka syaitan tidak terus meninggal hamba tersebut. Malahan syaitan akan terus melakukan usaha jahatnya dengan membisikkan kepada nafsu hamba (manusia) bagi mendapat bahagiannya dari perbuatan taat tersebut. Syaitan akan mempengaruhi hamba tersebut supaya melakukan amalan taat di hadapan manusia supaya dapat dilihat oleh orang ramai dan akhirnya menimbulkan perasaan bangga diri. Sebaliknya jika perbuatan taat itu dilakukan secara tertutup dari penglihatan manusia dan elok pula amalannya, lalu syaitan akan menghiasi nafsunya dengan perasaan kagum terhadap diri sendiri ( Ujub).
Maka dengan itu menjadikan manusia lupa bahawa Allah s.w.t sebenarnya yang menolong hambaNya untuk menunaikan segala amal ibadat. Timbulnya perasaan kagum dengan diri sendiri akan menimbulkan suasana membuat perbandingan sesama mereka dan menimbulkan sanjung menyanjung dan puji memuji, seterusnya membawa kepada bangga diri dan kemegahan. Akhirnya nafsu manusia berjaya memperolehi bahagiannya dari perbuatan taat di dalam keadaan tidak di sedari oleh manusia.
Maka dengan itu kualiti keikhlasan kepada Allah s.w.t, dalam ibadat seseorang akan memberi kesan kepada hatinya. Kadar ganjaran yang di perolehinya bergantung kepada tahap keikhlasan kepada Allah s.w.t di dalam melakukan ibadat.
Maka sesungguhnya Allah tidak hanya mahu dari sembahyang kita, puasa kita dan seluruh amal ibadat kita sekadar pergerakan fizikal, kesungguhan dan susah payah semata-mata, tetapi Allah s.w.t ingin di sebalik itu semua rasa takwa dan rasa takut kepadaNya. Lalu Allah s.w.t berfirman:
Ertinya: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (Surah alHaaj:37)
Jika seorang insan melakukan ibadat dengan menunjuk-nunjuk maka kesan dari ibadatnya tidak sampai kepada pokok iman di hati tetapi ianya sampai kepada pokok riak kemudian terus menerus di sirami kesannya itu dan membesarlah pokok riyak di hadapan cermin hati. Maka semakin bangga diri dengan ketaatannya dan tumbuh membesar pokok bangga diri di hadapan hatinya.
Jika dia terus bermegah-megah, menyombong diri dan tertipu dengan keadaan, maka tumbuh pula pokok menipu, mengagumi diri sendiri dan berpura-pura. Jika dia tidak berbuat sedemikian, malah ia mentaati perintah sedang dia lalai dan leka maka akan tumbuhlah pokok leka dan lalai, dengan berlalunya masa dan lupa manusia kepada nafsunya maka membesarlah pokok ini di dalam hatinya dan terbentuk penutup yang menebal di hadapan cermin hati, boleh menghalang sampainya cahaya dan pancaran rabbaniah kepada hati sehingga akhirnya hati pun terhalang dari rahmat Allah s.w.t.
Sesungguhnya iman membesar di dalam hati dengan sebab keikhlasan dalam mentaati perintah Allah dan kekuatan iman juga bergantung kepada sejauh mana ikhlasnya hati dalam melakukan perkara-perkara ketaatan. Setiap kali bertambah iman di dalam hati maka bertambah terang di dalam hatinya, ia juga memungkinkan untuk melihat dengan penglihatan hati dan mendengar dengan suara akal.
Maka dengan itu ia membolehkan hati beribadat kepada Allah dengan menundukkan segala perasaan kepada Allah, bertawakkal sepenuhnya kepada Allah, bertaubat sepenuhnya kepada Allah, takut kepada Allah, berharap kepada Allah, mengenepikan dunia dan bergantung hatinya terhadap akhirat. Apabila iman di hati lemah maka semakin bertambah tunduk dan berserah hati kepada nafsu dan bertambahlah penghalang di antara hamba dengan Allah.
Seterusnya ia akan menutupi cermin hati, menyekat penglihatan hati, memperlahankan suara akal dan suara malaikat. Maka akhirnya ia tidak dapat melihat melainkan apa yang dilihat oleh nafsunya dan tidak mendengar melainkan apa yang di dengari oleh nafsunya, maka jadilah ia seperti yang di ceritakan oleh Al-Quran.
Allah berfirman:
Ertinya: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al-Araaf:179)
Al-Imam Ibnu Qayyim memberi penjelasan terhadap hadis di atas, katanya: maka di antara amal perbuatan dan hati itu terdapat jarak, dan di antara jarak itu terdapat perompak dan penyamun yang akan menyekat amal seorang insan untuk sampai kepada hatinya, maka kita akan dapati seorang lelaki banyak berbuat amal tetapi tidak sampai kesan amalnya kepada hatinya, tidak sampai kasih sayang, tidak sampai rasa takut, tidak sampai menaruh harapan, tidak sampai sifat zuhud di dunia, tidak sampai sifat inginkan akhirat, tidak sampai cahaya yang membolehkan ia membezakan di antara wali Allah dan musuh-musuhnya, di antara benar dan batil, dan tidak ada kekuatan di dalam perintahnya.
Jika sampai kesan amalnya ke hati nescaya ia dapat menerangi dan memancarkan cahaya di hati, seterusnya membolehkan ia melihat kebenaran dan kebatilan, dapat membezakan di antara wali Allah dan musuh-musuhnya. Oleh yang demikian peperangan dan pertembungan di antara seorang hamba Allah dengan nafsunya merupakan peperangan yang sengit. Maka tidak melampau jika sesiapa mengatakan ianya peperangan yang paling hebat di alam ini.
Di belakang musuh kita itu terdapat musuh paling besar, yang juga berperanan mengeluarkan kedua ibu bapa kita iaitu Adam dan Hawa, dari syurga dengan bisikannya dan juga hiasannya. Namun sedemikian hebatnya permusuhan di antara insan dengan nafsunya yang disokong oleh syaitan, kita tiada pilihan lain melainkan mengharunginya dengan penuh kekuatan iman dan kemenangan adalah di sisi Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda: Kelak akan menimpa umatku penyakit umatumatku terdahulu, iaitu penyakit sombong, kufur nikmat, dan lupa diri dalam memperoleh harta dan bermegah-megah dengan harta. Mereka terjerumus dalam jurang kemenangan dunia, saling bermusuhan, saling iri dengki dan dendam sehingga melakukan kezaliman. (Hadis Riwayat Al-Hakim).
Orang yang hatinya kotor tidak akan merasa atau peka atas perilaku maksiat yang dilakukannya. Jika anda kehilangan harta benda, anda tidak kehilangan sesuatu. Jika anda kehilangan semangat dan keberanian, bererti anda kehilangan banyak hal. Dan jika anda kehilangan kemuliaan serta harga diri, bererti anda kehilangan segala-galanya.
Pernah kah anda rasa berdebar-debar, gelisah, tidak tenteram, tidak sedap hati dan sebagainya Semua fenomena itu sebenarnya adalah isyarat yang dipancarkan oleh hati seseorang bahawa ada sesuatu yang menjadi ancaman kepada diri manusia dan ianya dapat dikesan oleh hati.
Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Dan daging yang dimaksudkan adalah hati.
Hati adalah ibarat raja bagi tubuh badan manusia. Di sinilah tersimpan tenaga yang hebat seperti pemikiran dan tenaga emosi. Jika hati seseorang itu diisi dengan sifat mahmudah(baik) maka hebatlah seluruh anggota badannya dan akan melahirkan seseorang yang berakhlak mulia. Jika hati telah dikotori dengan sifat mazmumah(keji) maka rosaklah peribadi dan akhlak seseorang itu.
Hati adalah radar yang hebat untuk mengesan perbuatan manusia, sama ada mengesan perkara yang baik atau buruk. Apabila kita melakukan perbuatan yang berdosa, kita akan mudah untuk rasa berdebar-debar dan cemas.Seterusnya ia akan menyebabkan kita rasa gelisah dan tertekan.
Isyarat ini sebenarnya bertujuan untuk menyuruh supaya seseorang untuk kembali pada Allah. Apabila kita memohon keampunan dan bertaubat maka hati kita akan kembali tenang.Hati yang berpenyakit dari segi batin perlu dirawat seberapa segera kerana ianya bukan sahaja memberikan kemudaratan pada ketenteraman jiwa malah boleh menyebabkan penyakit pada anggota badan.
Bagaimana hati mendapat tenaga dan kekuatan Makanan hati adalah takwa kepada Allah.Zikir, membaca Al-Quran, menuntut ilmu agama, memberi zakat, bersedekah dan berbaik sangka adalah makanan hati yang enak dan lazat. Jika hati tidak diberi makan, maka seseorang itu akan menghidap penyakit batin dan zahir.Dengan cara memberikan makanan pada hati,barulah seseorang berhak untuk memperolehi kebahagiaan.
Apakah cara untuk merawat hati yang berpenyakit dan menghidupkan hati yang mati Caranya ialah dengan bertaubat dan meminta keampunan, mengingati kematian dan sentiasa melakukan amal kebajikan.Ini akan memulihkan dan menghidupkan semula hati.
Apabila hati kita mendustakan ayat-ayat Allah maka termasuklah kita dalam kategori hati yang berpenyakit sepertimana firmanNya;
Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta. (AlBaqarah:10)
Oleh itu,apabila hati kita mengesan sesuatu yang tidak menyenangkan maka marilah kita segera kembali kepada Allah sebelum hati kita menjadi keras.Ingatlah firman Allah yang bermaksud:
Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.(Al-Hadid:16)