Doktor, saya nak buat ujian HIV. Itu permintaannya.
Boleh tak dapat keputusannya sekarang Itu permintaannya lagi.
Sabar dulu bang.
Ceritalah dulu apa masalahnya. Aku cuba meredakan keadaan. Lalu diceritakannya.
Mereka baru sahaja balik daripada klinik kerajaan. Sang suami bekerja sebagai pemandu lori. Menghidap batuk sejak beberapa lama. Beliau dah seminggu keluar hospital. Datang kembali ke klinik kerajaan untuk pemeriksaan susulan. Kebanyakan ujian TBnya termasuk ujian sampel kahak adalah negatif. Termasuklah ujian Mantoux Test.
Mantoux Test adalah screening awal untuk penyakit TB. Sedikit ubat disuntik di bawah kulit di lengannya. Selepas 3 hari datang semula untuk bacaan dengan mengukur tindak balasnya. Kalau lebih daripada 10mm dikira positif TB. Kalau kurang dikira negatif TB. Tetapi untuk dia, bacaannya adalah 0. Langsung tiada tindak balas. Mungkin silap nurse yang menjalankan ujian. Aku tak pasti. Tetapi bila tiada tindak balas, senang-senang sahaja doktor tu cakap kat sang suami, Awak mungkin kena HIV.
Datang semula esok untuk melakukan ujian HIV. Itu yang jadi kelam-kabut tu.
Ini kisah benar. Ini kisah yang diceritakan oleh pesakit kepada aku. Aku kena dengar cerita daripada sebelah pihak lagi. Mungkin dia salah dengar. Mungkin dia salah pemahaman. Tetapi kalau sampai doktor kata dia mungkin ada HIV, memanglah terbalik dunia. Sebelum jumpa aku pun, pasangan ini dah bergaduh dulu dah. Isterinya pun nampak panik. Sebab kalau suaminya positif HIV, dia pun pasti positif juga. Itu belum kira daripada mana datang kumannya. Boleh perang dunia nanti.
Setahu aku, sebelum melakukan ujian HIV, kena ada pre dan post counselling. Takdalah main sergah sahaja. HIV pun bukannya jatuh daripada langit. Mesti ada punca jangkitan. Mesti ada risiko jangkitan. Itu semua kena selidik dahulu. Bukan main tembak sahaja. Selepas bersembang dan menenangkan perasaan mereka, aku pun ambil darah seperti biasa. Isterinya bertanya pada aku:
Doktor tak takut ke cucuk dia
Doktor tak payah pakai sarung tangan ke
Cubalah anda bayangkan. Kalaulah tiba-tiba doktor sibuk pakai mask, Pakai sarung tangan bagai. Semata-mata nak ambil darah dia, apa perasaan dia agaknya Aku kata aku dah 20 tahun ambil darah. Aku tak pernah melakukan diskriminasi. HIV ke bukan, mat gian ke bukan, penjenayah ke bukan, kalau tiada keperluan memakai sarung tangan masa ambil darah, aku kata aku takkan pakai. Lagipun aku nak menunjukkan keyakinan aku, bahawa dia bukan HIV positif.
Hari ini keputusan ujian darahnya sampai kepada aku. Seperti dijangka, ujiannya negatif.
Teringat aku akan kisah ini. Berlaku sekitar tahun 2010. Ada seorang perempuan telefon aku di klinik. Suaranya agak tertekan dan stress. Belum apa-apa lagi dia dah tanya aku, Doktor, heteroseksual tu apa Aku cakaplah, awak kenalah perkenalkan diri dulu dan cerita daripada mula. Janganlah terus tanya soalan sensitif macam tu.
Dia kata ini cerita kawan dia tapi rasanya ini kisah diri dia. Suami kepada Miss X ni pergi ke klinik kerajaan kerana mengadu sakit pada alat sulit beliau. Miss X kata ada sedikit keradangan di bahagian tersebut. Sampai di klinik, tanpa bertanya panjang doktor ambil ujian darah untuk mengesan penyakit-penyakit kelamin seperti Hepatitis B, Sifilis dan HIV. Ini adalah rutin biasa seperti dalam buku teks masa belajar dulu dan rasanya doktor tu ikut prosedur biasa tanpa mengambil kira latar belakang pesakit.
Masalah timbul bila sampel ujian darah dan borang ujian diberi kepada pesakit untuk dihantar ke makmal. Miss X terpandang perkataan heteroseksual pada borang ujian darah tersebut. Maka bergaduh besar mereka suami isteri kerana perkataan tersebut disifatkan sebagai negatif dan masing-masing menyangka salah seorang berlaku curang. Mereka anggap heteroseksual itu sama seperti homoseksual, poligami, berbilang pasangan dan sebagainya.
Selepas puas bertekak, Miss X akhirnya mengalah. Selepas mendengar penerangan aku, barulah terdengar suara lega dan puas hati. Takdalah lagi suara tension, sedih, bengang dan kelam kabut seperti masa awal dia berbicara. Aku suruh mereka datang ke klinik kalau masalah tak selesai lagi.
Itulah jawapan aku. Heteroseksual bermakna orang yang normal yang mempunyai keinginan dan ada hubungan dengan orang yang berlainan jantina. Ia tidak kaitan langsung dengan berbilang pasangan atau mempunyai nafsu yang pelik atau tak normal.