DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 91
Kebelakangan ini ramai pula yang bertanya, ada tak tip untuk menjadi doktor cabuk yang berjaya. Kalau nak tanya tip, aku bukanlah orangnya. Tetapi kalau nak tanya pengalaman aku, aku boleh berkongsi. Pada aku tidak susah nak menjadi doktor cabuk yang berjaya. Cuma masalahnya bagaimana nak mendefinisikan doktor cabuk yang berjaya. Adakah dengan mengira berapa ramai pesakit sehari. Adakah dengan mengira berapa untung sehari. Adakah dengan mengira berapa banyak aset yang dikumpul atau adakah dengan mengira berapa gembiranya hidup sebagai doktor cabuk.

Dah lebih 12 belas tahun aku jadi doktor cabuk, tetapi aku hanya ada satu klinik sahaja. Pagi petang siang dan malam, di sinilah tempat aku bekerja. Aku tidak bercadang nak membuka cawangan lain. Aku juga tidak bercadang untuk belajar membuka bisnes lain. Cukuplah dengan apa yang ada. Kekalkan dengan apa yang ada.

SATU, jadilah diri sendiri. Tak perlu terikut-ikut dengan cara doktor yang lain. Buka klinik 24 jam. Buka klinik 7 hari seminggu. Dulu masa baru buka klinik, klinik dan pesakit adalah nombor satu. Pukul 9 pagi dah masuk klinik, pukul 10 malam baru balik. Hari Sabtu pun kerja sampai malam tetapi selepas beberapa tahun, aku mula ikut kemampuan diri sendiri. Kerja ikut masa aku. Kerja ikut jadual masa aku sendiri. Mulamula ramai juga yang kompelin tetapi lama-kelamaan mereka akan faham. Doktor pun manusia biasa juga. Lagi satu, daripada zaman belajar dahulu, aku bukan seorang yang formal. Aku lebih selesa dengan gaya tak formal. Masa kerja kerajaan dulu pun, aku jarang pakai tali leher. Masa on call pun, aku selesa dengan t-shirt dan sandal. Jadi bila aku di klinik sendiri, aku lagi selesa dengan t-shirt dan sandal. Memang jarang sangat aku pakai kemeja. Apatah lagi pakai baju masuk ke dalam. Pesakit yang tak biasa dengan aku memang tengok aku janggal sedikit. Tetapi inilah aku. Tak formal tak semestinya tak profesional.

DUA, rawatlah pesakit dan bukannya merawat penyakit. Setiap pesakit yang datang klinik adalah unik. Untuk pesakit yang pertama kali datang klinik, aku akan tanya macam-macam. Sejarah kehidupannya aku catatkan, sejarah keluarganya, dan sejarah pekerjaannya. Selepas itu barulah aku bertanya pasal penyakitnya. Tak semua orang demam batuk selesema perlukan ubat yang sama. Punca demam batuk selesema perlu dikenal pasti. Kalau beri ubat yang sama, mereka tak perlu jumpa doktor dah. Beli di farmasi pun boleh. Jumpa Pembantu Perubatan di klinik 1Malaysia pun boleh. Selalunya demam batuk selesema tak perlu makan ubat macam-macam. Antibiotik pun jauh sekali. Cukup dengan minum air banyak-banyak dan cukup rehat. Itu lebih penting daripada makan ubat. Itu yang aku selalu tekankan kepada pesakit aku. Kadang-kadang aku memang tak beri ubat macam-macam. Cukup sekadar dengan nasihat. Aku tak suka beri ubat banyak-banyak kepada pesakit. Aku juga tak suka beri vitamin bukan-bukan. Aku tak suka ubat-ubat placebo. Memanglah boleh charged lebih. Lebih ubat bermakna lebih bayaran dikenakan. Tetapi profesionalkah Aku selalu berbincang tentang penyakit dengan pesakit-pesakit aku. Bila mereka faham tentang penyakit mereka, barulah senang nak merawat mereka.

TIGA, kejujuran. Aku selalu ingatkan diri aku sendiri bahawa hidup kena jujur. Bukan sahaja jujur dengan Allah tetapi jujur dengan diri sendiri. Kalau aku rasa aku tak tahu, aku cakap aku tak tahu. Kalau aku rasa penyakit yang perlu dirawat agak mencabar, aku rujuk ke doktor lain yang lebih berpengalaman. Tetapi kalau pesakit masih juga nak mencuba rawatan aku, aku terangkan satu per satu langkah-langkah rawatan seterusnya. Aku takkan cuba ubat-ubat tanpa berbincang dengan pesakit terlebih dahulu.

EMPAT, jadikan pesakit seperti sahabat sendiri. Semua pesakit aku layan sama rata tanpa mengira bangsa, jantina, agama dan warna kulit, kanak-kanak, remaja, dewasa atau warga tua. Semuanya aku layan sama rata. Ramai adik-adik yang senyum meleret bila aku panggil mereka kakak atau abang. Pada aku, bila aku panggil begitu, aku rasa lebih menghormati berbanding panggil adik-adik. Dan kalau dah biasa sangat, aku panggil engkau-aku sahaja. Itu lebih mesra. Itu lebih santai. Dan tak rasa formal sangat. Pesakit favorite aku datang daripada pelbagai bangsa. Ada bangsa Cina juga India yang seluruh ahli keluarganya setia bersama aku. Mereka sanggup tunggu aku walau beberapa hari aku tutup klinik. Kalau mereka dah ambil ubat di klinik lain, pasti datang jumpa aku untuk kepastian.

LIMA, jadikan pesakit sebagai pengiklan. Buat baik dengan pesakit dan layan pesakit sebaik mungkin. Kalau boleh beri layanan ekstra, suruh staf telefon pesakit untuk follow up. Ingatkan mereka tentang tarikh temu janji. Kalau mereka rasa dihargai, mereka akan menghargai kita. Aku selalu juga terima pesakit dari luar kawasan. Sanggup datang jauh-jauh nak jumpa dengan aku. Ada pesakit lain yang rekomen tentang perkhidmatan aku. Jadi tak payah susah-susah nak beli iklan. Pengiklanan percuma disediakan.

ENAM, nikmati kehidupan kita. Untuk kita seronok dengan pekerjaan kita, kita kena seronok dengan kehidupan kita. Tak guna kerja tungkus-lumus siang malam. Tak guna simpan duit banyak-banyak dalam akaun jika hati tak tenteram dan kepala berserabut. Aku sekarang kerja 5 hari seminggu. Tetapi aku kerja sepenuh masa. Tiada letak doktor lokum di klinik. Hari Jumaat dan Sabtu aku cuti sepanjang hari. Klinik pun tutup. Hari kerja, aku kerja sungguh-sungguh. Hari cuti aku cuti sungguhsungguh. Aku buat apa yang nak buat. Berkebun, jalan-jalan cari makan, ambil gambar, update Instagram, update blog. Aku bahagia walaupun aku tiada wang berjuta dalam akaun. Aku bahagia walaupun aku bercuti sekitar dalam negara sahaja. Aku bahagia walaupun kereta aku dah 6 tahun tak berganti. Aku bahagia bila melihat orang sekeliling aku bahagia. Cukuplah, hidup dunia pun hanyalah sementara.

TUJUH, ketahui batasan kita. Walaupun aku dah 20 tahun jadi doktor, masih banyak perkara yang aku kurang mahir. Ada penyakit yang aku mengaku sangat expert. Ada penyakit yang aku mengaku agak lemah teori aku. Jadi aku tahu batasan pengetahuan aku. Aku tak mahu memandai-mandai atau berlagak pandai. Kalau ada pesakit nak minta dirujuk ke manamana doktor, aku pasti akan tulis surat rujukan. Kalaupun aku tahu macam bodoh je rujuk kes bodoh-bodoh, pada aku lebih baik jadi bodoh daripada berlagak pandai. Aku tak kisah dilabel merujuk kes bodoh-bodoh. Yang penting itu kemahuan pesakit. Aku dah jalankan tanggungjawab aku. Aku juga masih percaya kepada first instinct. Kalau aku rasa waswas tentang sesuatu daripada mula, aku pasti akan ada masalah kemudian hari. Ada banyak contoh tetapi tak berani nak tulis kat sini. Biarlah ianya menjadi pengalaman pahit untukku seorang sahaja.

LAPAN, rendahkan matlamat kehidupan. Masa mula-mula aku dapat panggilan untuk buat medik, aku dah tetapkan dalam hati aku yang aku nak hidup senang. Dalam masa yang sama, aku juga nak menolong orang seramai mungkin. Aku tak pernah berniat nak hidup kaya-raya. Aku cuma nak hidup senang dan selesa. Aku tak nak hidup mewah atas kesusahan orang lain. Aku tak nak menjadikan penyakit satu sumber menjana ekonomi. Itu sahaja. Jadi matlamat kehidupan aku tak tinggi mana. Kadangkadang aku rasa iri hati juga dengan kawan-kawan sebaya. Ada yang dah merasa memandu Ferarri. Ada yang dah merasa menunggang Harley. Ada yang dah mengelilingi satu dunia. Ada yang dah beberapa kali menunaikan haji dan umrah. Tetapi bila fikirkan dalam-dalam, inikah yang aku mahukan Dalam bidang perubatan, ada banyak cara nak buat duit, iaitu dengan menjual MC, ubat tidur, vitamin dan suplemen. Tak cukup dengan tu, boleh agen MLM, melakukan prosedur kecantikan tanpa kelulusan dan macam-macam lagi cara untuk cepat kaya. Tetapi duit banyak mana sekalipun takkan cukup. Itu fitrah manusia.

SEMBILAN, jangan hanya melihat wang sahaja. Looks beyond the money. Dalam dunia perniagaan, wang dan keuntungan adalah perkara utama. Tetapi membuka klinik bukan setakat menjalankan satu perniagaan. Ianya adalah satu perkhidmatan untuk masyarakat setempat. Pada aku tak boleh terlalu berkira sangat dengan pesakit. Tak boleh berkira sangat dengan harga juga kos. Jangan jadi seperti hospital swasta. Sekeping gauze pun nak dikira. Sebatang syringe pun nak kira dalam bil. Aku memang tak setuju dan itu bukan yang aku amalkan. Perkhidmatan diutamakan, wang kira kemudian. Kalau hari ini hanya dapat untung sedikit, esok lusa pasti Allah akan ganti dengan untung yang lebih. Percayalah.

SEPULUH, hargai staf. Staf klinik adalah aset paling utama untuk setiap klinik. Aset utama bukannya doktor. Aset utama bukannya ubat-ubatan di klinik. Hargailah staf di klinik kita. Tanpa mereka, doktor tak boleh buat apa-apa. Doktor tak boleh ingat semua ubat letak di mana. Doktor tak boleh ingat kad pesakit letak di mana. Doktor tak boleh ingat semua harga ubat. Doktor tak boleh ingat cara-cara nak buat claim panel. Aku percaya sepenuhnya dengan staf klinik aku. Sepanjang 10 tahun aku bersama mereka, aku tak pernah menghadapi isu-isu besar dengan mereka. Kalau aku tiada di klinik, mereka boleh melakukan kerja tanpa perlu dipantau. Jadi kalau aku bercuti pun, hidup aku aman dan tenteram.

Inilah pengalaman aku untuk jadi doktor cabuk. Mungkin ramai yang tak bersetuju dengan cara aku. Mungkin ada yang beranggapan, aku perlu buka klinik guna nama sendiri. Aku perlu tambah cawangan dan kembangkan empayar. Aku perlu mengumpul aset. Itu baru namanya doktor yang berjaya.

Terpulanglah, tepuk dada tanya selera.