DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 92
Sebagai doktor aku pantang dengan ayat-ayat begini:

Saya tak pergi kerja pagi tadi.

Saya tak boleh bangun pagi tadi.

Saya dah cakap dengan bos saya MC hari ini.

Supervisor suruh datang klinik ambil MC.

Emak cakap tak payah pergi kerja hari ini.

Saya nak doktor tuliskan cuti sakit saya hari ini.

Aku juga pantang dengan ayat-ayat begini:

Saya nak minta surat rujukan ke klinik pakar.

Saya nak doktor buat ujian darah untuk saya.

Saya nak doktor tuliskan surat sokongan kepada saya.

Saya nak doktor beri antibiotik kat saya.

Kalau boleh doktor janganlah charge mahal-mahal.

Ada pesakit yang boleh menggembirakan aku sepanjang hari. Tetapi ada juga pesakit yang boleh menganggu mood aku sepanjang minggu. Ini contoh yang paling baru berlaku pada aku.

Seorang wanita lewat 30-an. Sering juga datang ke klinik kerana macam-macam masalah. Sakit orang perempuan. Juga sakit malas. Kalau datang klinik mesti minta ubat macam-macam. Kalau bukan untuk dia, dia ambil ubat untuk ahli keluarga atau anaknya. Lepas tu minta MC. Kadang-kadang aku tutup mata sahaja. Dan kadang-kadang aku rajin juga bertekak dengannya. Hari Ahad petang dia datang. Katanya letih sebab kurang darah. Period banyak sangat katanya. Aku beri dia vitamin dan cuti satu hari. Petang hari Isnin dia datang lagi. Dia pulangkan MC semalam kat aku. Dia kata nak tambah satu hari lagi. Pening kepala pula katanya. Aku kata aku tak nak beri. Sebab ikut rekod tahun ini sahaja dah 6 kali dia datang klinik. Dia kata kalau aku tak beri dia tak nak keluar bilik. Betul-betul dia tunggu aku. Langsung tak nak bergerak.

Hari Isnin lepas adalah hari paling malang aku. Hari itu dah banyak kali aku reject permintaan pesakit. Hari itu dah banyak juga aku beri MC tanpa rela. Penat pulang berkebun di kampung. Penat tolong angkat barang. Penat buat kerja part time. Lalu aku renyukkan MC yang dihulurkannya. Aku baling ke dinding. Dengan geramnya aku tulis satu MC baru untuk dia. Aku cakap ini yang terakhir. Dan aku cakap aku tak nak dia datang lagi ke klinik aku. Sepanjang masa itu aku langsung tak pandang muka dia. Sebab kalau aku tengok muka dia, aku rasa nak hulur sahaja penumbuk kat muka dia. (Percayakah korang bahawa pesakit ini masih lagi setia dengan aku)

Selepas dia keluar, masuk pula seorang pesakit lelaki. Kerjanya berjalan-jalan di taman sambil membaca meter. Dia sering datang ke klinik kerana sakit di pergelangan kakinya. Pernah juga menjalani pembedahan di hospital pakar. Tetapi sakitnya tetap tak hilang. Dua minggu lepas dia datang. Sakit yang sama. Aku beri dia Celebrex 200mg. Ubat penahan sakit yang paling kuat aku ada. Tetapi petang Isnin dia datang lagi. Dengan muka bengkak sebab baru bangun dari tidur. Dia kata kaki masih sakit. Nak minta MC. Aku tanya ubat tak makan ke Dia senyum. Dia kata makan sebiji sahaja. Aku tanya kenapa tak makan Dia kata takut nak makan. Dia kata abang iparnya dah sakit buah pinggang. Makan ubat banyak sangat katanya. Lalu aku berubah menjadi Muhammad Ali. Aku tumbuk mukanya bertalu-talu. Kanan kiri kanan kiri. Pukulan knocked out dalam masa beberapa saat sahaja.

Selang 3 pesakit, pesakit ini pula masuk. Seorang lelaki berusia 20-an mengadu demam sejak pagi tadi. Takda sakit lain. Demam sahaja. Aku periksa suhunya hanya 36.7 darjah Celsius. Tekak okey. Muka pun nampak sihat walafiat. Tetapi dia seorang yang berani.

Saya tak pergi kerja pagi tadi doktor.

Memang mencari nahas betul mamat ni. Lalu aku keluarkan pump gun daripada bawah meja. Aku acukan di kepalanya. Boom! Pecah berkecai kepalanya.

Ada minggu-minggu yang aku terlampau stress. Hati aku panas. Jantung aku laju. Tekanan darah aku naik. Aircond dalam bilik langsung tak terasa sejuknya. Pesakit-pesakit yang datang pun langsung tak membantu. Hati aku dah kebas. Perasaan aku seperti dibubuh ubat pelali. Langsung tiada apa-apa. Bila hati aku kebas, mulut aku jadi lancang. Ayat-ayat sarkastik lancar sahaja keluar daripada mulut aku.