Malam semalam aku nampak, ada anak meringkuk di bawah tangga jambatan.
Dia bertanya, ke mana bintang menghilang Aku jawab bintang cuma menyorok di balik bulan, menunggu matahari naik, kemudian pulang.
Dia kata tipu, bintang tak pernah wujud dalam hari dia sedang bersedih. Dia tak pernah nampak kecantikan apa pun dalam bintang. Dia kata bintang cuma mitos,
untuk mententeramkan anak-anak yang sedang rindu, dan lapar ketika susu kering di dalam botol, atau ayah dan ibu yang hilang entah ke mana bila waktu pagi menjengah.
Aku terdiam dan tak cakap apa-apa.
Untuk apa aku bercakap kalau setiap malam aku nampak bintang,
dan bagaimana kalau aku menyanggah sedangkan mata yang nampak adalah anak kecil itu,
bahawa bintang tak pernah wujud di matanya dan bulan serta matahari cuma dongeng-dongeng kecil yang tak berasas
Aku bergerak, tidak mahu menyedihkan dan menggusarkan anak kecil itu.
Tiba-tiba dia menarik kaki aku dari belakang, sambil teraba-raba mencecah lantai, kemudian berkata pada aku,
Kalau ada yang namanya bintang, matahari atau bulan, sudah tentu ia adalah secerah encik, kerana dari kecil lagi, aku cuma dengar suara ibu dan ayah, tiada orang ketiga yang bercakap dengan aku, kecuali kamu.
Aku tinggalkan sebuah bintang yang aku petik dan berikan padanya, letak dengan hangat sekali.
Simpan ini, aku kata.
Barangkali kamu lebih perlukannya dari aku.
Lalu aku berjalan, menyusur tanpa kaki, yang telah aku korbankan untuk memutuskan impian yang aku petik dalam bentuk bintang.