Mencari Kiblat Cinta - 97
Cobe tidak terus menjawab. Wajah anak gadis itu ditatap penuh penyesalan. Kalaulah dia mampu mengatakan hal yang sebenarnya pada anak gadis itu, tentu lebih mudah. Masalahnya dia langsung tidak tahu bagaimana mahu menjelaskannya pada Danira. Tim benar! Berfikir memang mudah, tapi nak melaksanakan itu yang payah.

Malam ni kau berehat kat sini aje. Jangan balik ke rumah tu. Ujar Cobe lalu bingkas bangun. Entah kenapa dia tidak sanggup mahu terus berada bersama gadis itu lebih lama.

Saya nak balik. Danira turut bingkas.

Kalau kau balik, nyawa kau mungkin dalam bahaya.

Apa bezanya kalau saya berada di sini sebagai tahanan awak

Cobe mengeluh panjang. Wajah gadis itu ditatap tidak berkelip. Baru kini dia merasakan sikap keras kepala gadis itu.

Aku tak berniat nak tahan kau. Kau juga bukan tahanan aku. Aku cuma nak lindungi kau dari lelaki-lelaki yang memburu kau. Itu saja. Jelas Cobe berterus-terang.

Siapa mereka tu Kenapa mereka buat saya macam ni

Belum masanya untuk aku jelaskan.

Saya lebih rela mati dari berada bersama orang macam awak. Awak sangka dengan berbuat macam ni, awak akan menghapuskan kebencian saya Jangan harap! Saya tak akan maafkan pembunuh ayah saya sendiri. Gumam Danira dengan api kebencian yang meluap-luap di dadanya.

Aku tak minta kau maafkan aku dan sebagainya. Aku cuma minta kau tinggal di sini buat sementara waktu supaya keadaan kau tenang sedikit. Ya, aku memang orang jahat, penjenayah. Sebutlah apa sahaja yang kau suka. Tapi aku bukan perogol atau penculik. Aku juga tak bunuh ayah kau. Percaya atau tidak, kau lebih selamat di sini berbanding berada di taska itu. Getus Cobe tegas.

Danira terdiam. Saat lelaki itu beredar ke arah muka pintu, dia hanya mampu memerhatikan lelaki itu. Anehnya apa sahaja yang disebut lelaki itu mencelah masuk ke fikirannya satu persatu. Dia benar-benar ingin mempercayai apa yang diucapkan lelaki itu. Sebelas tahun yang lalu, dia nampak sendiri lelaki itu keluar dari bilik ayahnya ketika itu. Ketika itu dia benar-benar menyakini bahawa lelaki itu benar-benar pembunuh ayahnya. Tapi kenapa pada saat ini, penafian lelaki itu kelihatan benar-benar menyakinkan

******

Sebaik dia dihubungi Kamila pagi itu, Filman terus bergegas ke Sissy Kindergarden. Dia baru hendak bersarapan ketika Kamila menghubunginya. Dan berita yang dibawa wanita itu membuatkan dia terkejut dan gelisah.

Filman, datang sini cepat. Kakak rasa ada benda tak baik berlaku pada Nira. Suara Kamila kedengaran cemas. Dan tanpa mempedulikan apa-apa, dia terus bergegas memandu ke Sissy Kindergarden. Melia sengaja tidak dibawanya bersama seperti biasa.

Di hadapan Sissy Kindergarden, dia melihat terdapat beberapa buah kenderaan yang pastinya mahu menghantar anak masing-masing. Namun sebuah kereta yang tersadai di dalam petak parkir di dalam garaj taska lebih menarik minatnya. Kereta Zulbhan!

Encik Filman, Kak Mila suruh Encik Filman naik ke atas. Ujar Umaira yang menyambut ketibaannya di muka pintu. Wajah Umaira nampak muram dan gelisah. Filman entah kenapa kian gusar dibuatnya. Dia segera mendaki tangga ke tingkat atas. Melihat sebuah bilik yang renggang pintunya, dia bagaikan tahu ke mana kakinya harus melangkah. Sebaik dia memasuki bilik tidur itu, wajahnya segera menjadi perhatian tiga pasang mata.

Filman tegur Kamila yang berwajah resah. Di sisi wanita itu dia melihat kelibat Zulbhan, adik Kamila yang bekerja sebagai pegawai polis. Namun ada wajah lain yang tidak dikenalinya di situ. Wajah lelaki berbangsa cina yang berpakaian kemas itu segera mencuri perhatiannya. Namun wajah itu tidak kekal ditatap kerana ada sesuatu yang lebih menarik minatnya. Keadaan bilik itu yang bersepah dan tunggang-langgang membuatkan nafasnya berderu kencang. Hatinya sudah melumat kerana risau. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku pada gadis itu.

Kak Mila tak tahu nak mula dari mana Fil. Malam semalam sepatutnya Danira datang ke rumah Kak Mila untuk makan malam, tapi dia tak muncul. Kak Mila ingatkan dia mungkin penat dan tertidur. Tapi pagi ni, Kak Mila nampak pintu pagar di depan taska tak bertutup seperti biasa. Kak Mila cuba cari Nira tapi dia tak ada. Bila Kak Mila tengok bilik dia bersepah macam ni, Kak Mila jadi tak sedap hati. Sebab tu Kak Mila call Zulbhan suruh datang. Kak Mila rasa, Fil pun patut tahu semua ini. Jelas Kamila sambil mengesat sedikit airmata yang berlinang di penjuru pipinya.

Zulbhan yang memerhatikan reaksi kakaknya segera bertindak memujuk wanita itu. Matanya memandang ke arah Filman yang kelihatan terkejut mendengar cerita Kamila.

bersambung

Bab akan datang:

Apa yang mereka akan lakukan untuk mencari Danira